Skip to main content

Dunia

Bekas kapten kriket gesa rawatan perubatan sewajarnya diberikan kepada Imran Khan

71721080159_ImranKhan.jpg
Imran telah dihantar semula ke penjara awal pagi Jumaat, hanya beberapa jam selepas menjalani pemeriksaan perubatan di Institut Sains Perubatan Pakistan (PIMS) milik kerajaan. - Gambar fail
Advertisement

HYDERABAD: Bekas kapten kriket dari beberapa negara telah mengutus surat kepada Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif bagi menggesa agar bekas pemain kriket yang kini bergelar politikus, Imran Khan, diberikan "rawatan perubatan sewajarnya" berikutan kebimbangan terhadap tahap kesihatannya.

Imran, pengasas parti pembangkang Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI) yang dipenjarakan sejak Ogos 2023, telah dihantar semula ke penjara awal pagi Jumaat, hanya beberapa jam selepas menjalani pemeriksaan perubatan di Institut Sains Perubatan Pakistan (PIMS) milik kerajaan.

Sebelum ini, Mahkamah Agung Pakistan pada 18 Ogos memerintahkan supaya bekas perdana menteri itu dipindahkan dari Penjara Adiala di Rawalpindi ke Hospital Antarabangsa Shifa di Islamabad, iaitu sebuah kemudahan perubatan swasta.

Susulan tindakan itu, parti pimpinan Imran pada Sabtu telah memfailkan petisyen menghina mahkamah terhadap pihak berkuasa.

Menteri Penerangan Attaullah Tarar berkata keputusan untuk membawa Imran ke PIMS dibuat berikutan "situasi keselamatan", yang mana beliau menyalahkan ahli-ahli PTI atas tindakan itu.

Bekas bintang kriket antarabangsa, yang merujuk kepada hubungan erat yang terjalin di padang bersama Imran - tokoh yang memimpin pasukan kebangsaan Pakistan menjuarai Piala Dunia Kriket 1992 - turut menyertai desakan pelbagai pihak yang prihatin terhadap laporan kemerosotan kesihatannya.

"Tidak kira apakah hujah undang-undang dan politik yang menyelubungi kes beliau, ihsan asas untuk memastikan proses perubatan yang diperintahkan mahkamah benar-benar diselesaikan bukanlah satu permintaan yang kontroversial pada pandangan kami," tulis bekas ahli kriket berkenaan dalam surat bertarikh 23 Ogos yang dialamatkan kepada Perdana Menteri Pakistan.

Surat itu ditandatangani oleh 21 tokoh kriket, termasuk legenda kriket Hindia Barat Clive Lloyd, Arjuna Ranatunga dari Sri Lanka, Michael Atherton, Michael Brearley, Nasser Hussain, Andrew Strauss dan David Gower dari England, Kapil Dev dan Dilip Vengsarkar dari India, serta Adam Gilchrist, Steve Waugh dan Kim Hughes dari Australia.

Mereka mendesak agar lembaga perubatan yang diarahkan oleh Mahkamah Agung, termasuk doktor peribadi Imran, "dibenarkan untuk menyempurnakan penilaian kesihatan secara penuh dan bebas, terutamanya mengenai laporan kehilangan penglihatan pada mata kanannya."

Mereka juga meminta agar kunjungan mingguan keluarga yang dikembalikan oleh mahkamah dibenarkan "tanpa sebarang gangguan atau kelengahan pentadbiran."

Imran, yang disingkirkan daripada kuasa menerusi undi tidak percaya di parlimen pada April 2022, telah disabitkan dengan pelbagai pertuduhan rasuah dan mendedahkan rahsia negara. Beliau menegaskan bahawa kesemua pertuduhan terhadapnya adalah bermotifkan politik.

Sementara itu, Shehbaz pada Ahad telah mengadakan pertemuan dengan presiden partinya, Pakistan Muslim League-Nawaz (PML-N), Nawaz Sharif bagi membincangkan "perkembangan situasi politik," dengan tumpuan terarah kepada keputusan Mahkamah Agung berhubung Imran, lapor portal berita Dunya News.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement