BERLIN: Pernah diberi tanggungjawab memberkas kumpulan penyebar ideologi Nazi, Hans-Georg Maassen dilaporkan disiasat kerana dicurigai memiliki kaitan dengan pelampau sayap kanan oleh agensi perisikan pimpinanannya sehingga tahun 2018.

Memetik laporan BBC, Maassen telah berkongsi surat daripada Pejabat Perlindungan Perlembagaan (BfV) mengesahkan bahawa beliau sedang disiasat.

Dalam masa sama, agensi tersebut menyatakan pihak mereka tidak dapat mengeluarkan sebarang kenyataan kes individu disebabkan peraturan ketat perlindungan data peribadi.

Menerusi kenyataan Maassen di laman X, surat tersebut tidak mengandungi "bukti kukuh bahawa siasatan itu dibenarkan" dan mendakwa kerajaan takut kepadanya.

Beliau mendakwa Menteri Dalam Negeri Jerman, Nancy Faeser, menggunakan perkhidmatan anggota perisik untuk bersaing dengannya dalam politik.

Dalam surat tersebut, pegawai keselamatan menyatakan keyakinan terhadap penglibatan Maassen dengan teori konspirasi sayap kanan dan antisemit, retorik anti-migran beliau dan kenyataan yang disyaki menyokong gerakan Reichsbürger sayap kanan, di mana beberapa anggotanya ditangkap pada Disember 2022 selepas dikesan cubaan kudeta gagal.

Sebagai ketua perisik dalaman, Maassen juga dituduh merendahkan ancaman sayap kanan.

Sementara itu, beliau juga semakin lantang bersuara mengenai bahaya ditimbulkan imigran terhadap masyarakat Jerman dan komen tajamnya di media sosial menjadikannya ikon bagi sayap kanan radikal.

Pada tahun 2018, beliau dipaksa meletakkan jawatan dan secara rasmi diarah untuk "pencen awal" setelah disyaki meragui ketepatan video yang menunjukkan keganasan sayap kanan xenofobik di sebuah festival jalanan di bandar timur Chemnitz.

Sejak itu, komen beliau menjadi lebih ekstrem menerusi penerbitan satu artikel berjudul "Chemotherapy for Germany" yang kandungannya membandingkan imigran dengan kanser.

Beliau juga mengesahkan bahawa parti politik baru sayap kanannya, The Values Union yang dilancarkan pada akhir Januari, bersedia untuk bekerjasama dengan parti sayap kanan jauh AfD untuk mendapatkan kuasa selepas pilihan raya negeri penting yang akan datang. - BBC