DUNIA
Bekas pegawai FBI saman pentadbiran Trump atas dakwaan balas dendam

FBI sebelum ini menjalankan beberapa siasatan membabitkan Trump, termasuk sama ada Rusia mempengaruhi pilihan raya 2016, siasatan rusuhan Capitol 6 Jan 2021, serta siasatan dokumen sulit Mar-a-Lago pada 2022. - Gambar/ Reuters
WASHINGTON: Tiga bekas pegawai Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) yang diberhentikan bulan lalu memfailkan saman terhadap pentadbiran Trump pada Rabu, dengan mendakwa mereka menjadi sasaran "kempen balas dendam" dan diberhentikan secara tidak sah atas alasan politik, lapor Xinhua.
Saman itu difailkan di mahkamah Daerah Columbia dengan defendan termasuk FBI dan Pengarah FBI Kash Patel, Jabatan Kehakiman serta Peguam Negara Pam Bondi, Pejabat Eksekutif Presiden, dan kerajaan persekutuan.
Menurut aduan berkenaan, defendan melancarkan "kempen balas dendam" terhadap ketiga-tiga mereka kerana dianggap gagal menunjukkan kesetiaan politik mencukupi kepada Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, serta kerana menolak usaha mempolitikkan FBI.
Pada 8 Ogos, pengarah FBI menamatkan perkhidmatan ketiga-tiga pegawai itu dengan "surat ringkas setebal satu halaman" kepada setiap plaintif, yang menurut aduan tersebut "melanggar undang-undang persekutuan dan Perlembagaan."Aduan itu turut menegaskan ketiga-tiga bekas pegawai FBI berkenaan telah berkhidmat selama beberapa dekad.
"Patel bukan sahaja bertindak secara tidak sah malah sengaja memilih untuk mempolitikkan FBI berbanding melindungi rakyat Amerika," menurut aduan itu.
"Keputusan beliau menjejaskan keselamatan negara dengan menyingkirkan tiga pemimpin operasi FBI yang paling berpengalaman, masing-masing pakar dalam mencegah keganasan dan mengurangkan jenayah ganas."
Seorang plaintif, Brian J. Driscoll, pernah berkhidmat seketika sebagai pemangku pengarah FBI awal tahun ini.
Menurut aduan itu, pada 29 Jan Driscoll diarahkan supaya menyediakan senarai kakitangan FBI yang terlibat dalam siasatan rusuhan Capitol pada 6 Jan 2021. Di bawah tekanan, beliau akhirnya menyerahkan senarai sekitar 6,000 individu.
Patel kemudiannya menyatakan semua kakitangan FBI yang dikenal pasti sebagai terlibat dalam kes terhadap Trump akan dilucutkan jawatan, tanpa mengira kelayakan persaraan mereka.
Patel juga dilaporkan berkata kepada Driscoll bahawa "FBI cuba memasukkan Presiden ke penjara dan dia tidak melupakannya."
FBI sebelum ini menjalankan beberapa siasatan membabitkan Trump, termasuk sama ada Rusia mempengaruhi pilihan raya 2016, siasatan rusuhan Capitol 6 Jan 2021, serta siasatan dokumen sulit Mar-a-Lago pada 2022.
Trump berulang kali menuduh Jabatan Kehakiman dan FBI menjalankan siasatan itu dengan motif politik dan tidak adil menyasarkan dirinya. Dalam kenyataan awam, wawancara serta hantaran di media sosial, Trump sering menyifatkan siasatan itu sebagai "pemburuan ahli sihir."
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami