Bekas penyerang Chelsea, Manchester City dan AC Milan, George Weah bakal jadi Presiden Liberia, menggantikan Ellen Johnson Sirleaf, presiden wanita pertama di negara Afrika.

Weah, mengalahkan lawannya Joseph Boakai dalam pusingan kedua pilihan raya dengan 61.5 peratus undi.

Kemenangan Weah, diumumkan Suruhanjaya Pilihanraya Kebangsaan Liberia, selepas lebih 98.1 peratus undi dikira.

Weah, 51 tahun, menamatkan karier profesionalnya pada 2003.

Beliau adalah individu bukan dari Eropah yang pertama memenangi anugerah Ballon d'Or pada 1995 dan pemain terbaik dunia FIFA.

George Weah merupakan pemain Afrika pertama menang Anugerah Ballon d' Or

Weah juga disifatkan penyerang terbaik dalam dunia bola sepak pada era 1990-an.

Detik gemilang Weah adalah ketika beraksi untuk kelab AC Milan pada 1996, apabila gerakan solonya berjaya menghasilkan jaringan.

Aksi itu jadi antara detik paling diingati dalam sejarah.

Weah dibawa berpindah ke liga Eropah oleh Arsene Wenger menerusi kelab Monaco pada 1988, dan sepanjang empat tahun dengan kelab itu, beliau menghasilkan 47 gol.

Beliau kemudian berpindah ke Paris St. Germain, dan ketika beraksi dengan kelab itu, Weah berjaya merangkul gelaran juara liga dan setahun kemudian dinobat penjaring terbanyak bagi Kejohanan Liga Juara-juara.

George Weah pernah dilabel antara penyerang terbaik pada era 1990-an

Dalam pusingan pertama pilihan raya, Weah menang dengan 38.4 peratus undi, namun ia tidak cukup memberi majoriti mutlak.

Weah bertanding di bawah Pakatan Perubahan Demokratik, tewas kepada Sirleaf pada 2005, dan kini merupakan senator di Dewan Negara.