Skip to main content

Dunia

Bekas PM Perancis, Edouard Balladur meninggal dunia pada usia 97 tahun

Balladur_REUTERS
Edouard Balladur, yang pernah berkhidmat sebagai Perdana Menteri Perancis dari 1993 hingga 1995, meninggal dunia pada usia 97 tahun. - Gambar fail/ Reuters
Advertisement

PARIS: Edouard Balladur, yang pernah berkhidmat sebagai Perdana Menteri Perancis dari 1993 hingga 1995, meninggal dunia pada usia 97 tahun.

Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri Perancis, Sebastien Lecornu, menerusi platform X pada Isnin.

Balladur merupakan antara tokoh terpenting dalam politik Perancis dan dikenali sebagai arkitek kepada dasar penswastaan secara besar-besaran yang menyaksikan penjualan beberapa syarikat utama negara itu.

Antara syarikat yang terlibat dalam proses tersebut ialah institusi perbankan Societe Generale dan Paribas, yang kemudiannya menjadi sebahagian daripada BNP Paribas, selain penyiar televisyen TF1.

Beliau turut melaksanakan pembaharuan terhadap sistem pencen Perancis pada 1993, satu isu yang sering menjadi topik sensitif dalam landskap politik negara itu.

"Edouard Balladur berkait rapat dengan 50 tahun sejarah Republik Kelima Perancis. 

"Bermula daripada penglibatannya bersama Georges Pompidou sehingga pelantikannya sebagai Perdana Menteri, beliau merupakan antara tokoh utama dalam kehidupan awam negara," kata Lecornu menerusi hantaran di X.

Menurut beliau, Balladur akan dikenang sebagai seorang negarawan yang mempunyai semangat reformasi dan menjadi contoh kepada ramai ahli politik dalam kelompok ideologinya.

Sepanjang kerjayanya, Balladur dikenali sebagai seorang teknokrat yang tegas dan berpegang kuat kepada prinsip pentadbiran.

Namun, pengkritiknya sering menggambarkan beliau sebagai individu yang agak dingin serta kurang dekat dengan rakyat.

Kartunis akhbar terkenal, Plantu pernah melukiskan Balladur sebagai seorang bangsawan lengkap dengan rambut palsu, manakala mingguan satira Le Canard enchaine pernah menggelarnya sebagai "Yang Teramat Sopan dan Angkuh."

Balladur berkhidmat sebagai Perdana Menteri di bawah pimpinan Presiden Sosialis Perancis ketika itu, Francois Mitterrand dalam tempoh yang menyaksikan beberapa reformasi ekonomi penting dilaksanakan di negara tersebut. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement