WASHINGTON: Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Arab Saudi memberi amaran mengenai peningkatan ancaman keselamatan daripada kumpulan Houthi susulan Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid menyambung semula sebahagian operasinya pada Ahad, lapor Anadolu Ajansi.
Dalam amaran keselamatan terbaharu, kedutaan itu memaklumkan bahawa Jabatan Negara AS telah mengarahkan kakitangan kerajaan yang tidak terlibat dalam tugas kecemasan serta keluarga mereka meninggalkan Arab Saudi berkuat kuasa 23 Okt.
"Houthi yang disokong Iran telah melancarkan serangan terhadap Arab Saudi, termasuk menyasarkan lapangan terbang awam dan infrastruktur kritikal lain, mengakibatkan korban dalam kalangan orang awam serta gangguan serius terhadap perjalanan," menurut kedutaan itu.
Kumpulan Houthi yang menguasai ibu negara Yaman, Sanaa, dan beberapa wilayah lain sejak 2014, kembali bertempur dengan tentera kerajaan yang disokong Arab Saudi pada Julai selepas gencatan senjata yang dicapai pada 2022 gagal dipertahankan.
Selain sektor penerbangan, kumpulan itu turut menyasarkan kemudahan tenaga Arab Saudi.
"Pertempuran itu berpotensi merebak dengan pantas ke kawasan di luar lokasi konflik semasa," menurut amaran kedutaan berkenaan.
Arahan supaya kakitangan terbabit meninggalkan negara itu kali pertama diumumkan kepada umum pada Rabu.
Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid di Riyadh dibuka semula sebahagiannya pada Ahad bagi penerbangan domestik dan beberapa perkhidmatan antarabangsa yang dikendalikan syarikat penerbangan Arab Saudi.
Bagaimanapun, kedutaan berkenaan memberi amaran kepada rakyat AS mengenai kemungkinan serangan lanjut, penutupan ruang udara dan pembatalan penerbangan, selain menggesa mereka supaya mengambil langkah berjaga-jaga ketika menggunakan lapangan terbang di negara itu.
Kakitangan kerajaan AS kini perlu mendapatkan kebenaran khas untuk menggunakan mana-mana lapangan terbang di Arab Saudi.
Sementara itu, kumpulan Houthi mengulangi ancaman terhadap lapangan terbang di Riyadh dengan memberi amaran bahawa kemudahan itu masih menjadi sasaran serangan meskipun sebahagian operasinya telah disambung semula.
Operasi lapangan terbang berkenaan sebelum ini digantung susulan serangan pada 10 Okt yang mengorbankan 13 orang dan mencederakan ratusan yang lain.
Arab Saudi turut memintas beberapa lagi peluru berpandu dan dron pada Ahad ketika pertempuran dengan kumpulan Houthi berterusan.
-- BERNAMA-ANADOLU