Bekas Presiden Brazil protes, mahu rampasan kuasa tentera

Astro Awani
Februari 26, 2024 00:30 MYT
Bolsonaro ketika memberi ucapan kepada penyokongnya di Sao Paulo, Brazil. - Foto AP
SAO PAULO: Bekas Presiden Brazil Jair Bolsonaro mengumpulkan beribu-ribu penyokong untuk menunjukkan kekuatan politik dan menggesa rampasan kuasa tentera.
Demonstrasi diadakan selepas beliau menjadi sasaran serbuan polis awal bulan ini susulan siasatan atas dakwaan cuba melakukan rampasan kuasa.
Penyokong Bolsonaro, seorang populis yang sering disamakan dengan bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menceroboh dan menggeledah Istana Presiden, Mahkamah Agung dan Kongres Brazil, menggesa rampasan kuasa tentera semenjak 8 Januari 2023.
Pasport Bolsonaro telah dirampas dan beliau dituduh menyunting draf dekri untuk membatalkan keputusan pilihan raya, menekan ketua tentera untuk menyertai cubaan rampasan kuasa dan merancang untuk memenjarakan hakim Mahkamah Agung selepas kalah dalam pilihan raya kepada presiden berhaluan kiri Luiz Inacio Lula da Silva pada tahun 2022.
Bolsonaro pada Ahad menafikan tuduhan itu dan berkata dia "dianiaya", sambil menambah bahawa draf dekri itu berdasarkan perlembagaan.
Beliau juga menggesa pengampunan bagi orang yang mengambil bahagian di dalam rusuhan.
Presiden Lula pula kini berada di tengah-tengah pertelingkahan diplomatik dengan Israel berhubung komen di mana dia menyamakan perang Israel di Gaza dengan pembunuhan beramai-ramai Nazi semasa Perang Dunia Kedua.
#Jair Bolsonaro #rampasan kuasa tentera #protes #Luiz Inacio Lula da Silva