Bekas presiden Chile Bachelet bertanding jawatan Setiausaha Agung PBB

Bachelet merupakan presiden Chile dari 2006 hingga 2010 dan dari 2014 hingga 2018. Beliau kemudiannya menerajui Suruhanjaya Hak Asasi Manusia PBB selama empat tahun. - Foto fail
BUENOS AIRES: Bekas presiden Chile Michelle Bachelet telah didaftarkan secara rasmi sebagai calon untuk menerajui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lapor Agensi Berita Jerman (dpa) pada Isnin yang memetik Presiden semasa negara itu, Gabriel Boric.
Ringkasan AI
- Michelle Bachelet didaftarkan sebagai calon Setiausaha Agung PBB dengan sokongan Brazil dan Mexico, menawarkan pengalaman luas untuk kerja-kerja PBB.
- Pencalonan Bachelet akan dilancarkan secara rasmi di New York, menjadikannya calon wanita pertama untuk jawatan tersebut yang akan diisi pada 1 Januari 2027.
- Meskipun menghadapi cabaran geopolitik, Bachelet komited untuk memperkukuh multilateralisme dan memodenkan PBB, menyifatkan PBB sebagai forum penting untuk dialog dan penyelesaian bersama.
Setakat ini, hanya ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) yang berasal dari Argentina, Rafael Grossi, telah mengumumkan secara rasmi pencalonannya untuk menggantikan Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres. Bekas naib presiden Costa Rica, Rebeca Grynspan, turut menyatakan minat bagi jawatan tersebut.
Boric berkata pencalonan Bachelet akan dilancarkan secara rasmi pada Isnin di New York. Jawatan tersebut mengikut tradisi bergilir antara wilayah di dunia, dengan Amerika Latin menjadi giliran seterusnya. Sehingga kini, PBB belum pernah diterajui oleh seorang wanita. Jawatan itu akan diisi pada 1 Jan 2027.
Bachelet merupakan presiden Chile dari 2006 hingga 2010 dan dari 2014 hingga 2018. Beliau kemudiannya menerajui Suruhanjaya Hak Asasi Manusia PBB selama empat tahun.
Walaupun menghadapi kesukaran disebabkan persekitaran geopolitik yang mencabar, bekas presiden itu berkata beliau tetap komited untuk memperkukuh instrumen multilateralisme dan memodenkan PBB.
Dalam ucapan pertamanya sebagai calon Setiausaha Agung, Bachelet memuji organisasi itu sebagai "forum paling penting di dunia untuk pertemuan, dialog, dan pencarian penyelesaian bersama."
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


