Anak Puteri Mahkota Norway ditahan atas dakwaan serangan menjelang perbicaraan rogol

Marius Borg Hoiby diperintah ditahan reman selama empat minggu. - Foto fail/AP
OSLO: Anak lelaki Puteri Mahkota Norway, Mette-Marit, ditahan polis atas dakwaan serangan, hanya beberapa hari sebelum beliau dijadual dibicarakan di Oslo pada Selasa atas 38 pertuduhan, termasuk rogol terhadap empat wanita.
Marius Borg Hoiby, 29, diperintah ditahan reman selama empat minggu.
Polis memaklumkan dakwaan terbaharu melibatkan penggunaan pisau serta pelanggaran perintah larangan mendekati mangsa, selain wujud risiko beliau mengulangi kesalahan.
Penahanan pada Ahad itu merupakan kali keempat Høiby ditahan sejak Ogos 2024, apabila beliau mula didakwa menyerang seorang wanita yang mempunyai hubungan dengannya.
Beliau menafikan pertuduhan paling serius namun mengaku bersalah terhadap beberapa kesalahan kecil.
Kes ini menjadi skandal terbaharu yang melanda keluarga diraja Norway, ketika negara itu turut bergelut dengan pendedahan bahawa Puteri Mahkota Mette-Marit pernah berhubung selama tiga tahun dengan pesalah seks terkenal, Jeffrey Epstein, antara 2011 hingga 2014.
Mette-Marit mengakui membuat “pertimbangan yang lemah” dan menyatakan simpati kepada mangsa penderaan Epstein.
Perdana Menteri Jonas Gahr Store turut bersetuju dengan pengakuan tersebut, satu kenyataan yang jarang dibuat secara terbuka terhadap ahli keluarga diraja.
Menurut Mahkamah Daerah Oslo dalam kenyataan yang dipetik oleh Reuters, permohonan polis untuk menahan tertuduh diluluskan bagi mengelakkan berlakunya kesalahan berulang.
Walaupun Hoiby bukan anggota rasmi keluarga diraja, beliau merupakan anak tiri kepada Putera Mahkota Haakon.
Istana diraja berusaha menjauhkan diri daripada perbicaraan itu, dengan Putera Mahkota menyatakan simpati kepada mangsa serta keluarga mereka dan menyifatkan keadaan ini sebagai “waktu yang sukar”.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


