Skip to main content

Dunia

Bekas Presiden Korea Selatan rayu ketepi hukuman penjara seumur hidup

A person walks in front of a TV screen broadcasting a news report on the sentencing trial of South Korean former president Yoon Suk Yeol's insurrection case, stemming from his short-lived declaration of martial law in December 2024, in Seoul, South Korea, February 19, 2026. A person walks in front of a TV screen broadcasting a news report on the sentencing trial of South Korean former president Yoon Suk Yeol's insurrection case, stemming from his short-lived declaration of martial law iREUTERS/Kim Soo-hyeon
Yoon didakwa mengetuai pemberontakan apabila melaksanakan undang-undang tentera dalam tempoh singkat pada 3 Dis 2024. - Gambar/ Reuters

SEOUL: Bekas Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol pada Selasa merayu hukuman penjara seumur hidup terhadapnya diketepikan iaitu atas sabitan melakukan pemberontakan setelah gagal melaksanakan undang-undang tentera, lapor Agensi Berita Yonhap.

Rayuan itu difailkan oleh peguamnya lima hari selepas mahkamah menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Yoon kerana mengetuai pemberontakan apabila beliau melaksanakan undang-undang tentera dalam tempoh singkat pada 3 Dis 2024.

Advertisement

“Kami berpendapat kami mempunyai tanggungjawab untuk menunjukkan dengan jelas (apa) masalah dengan keputusan ini bukan sahaja untuk rekod mahkamah tetapi juga untuk rekod sejarah masa depan," menurut kumpulan peguam berkenaan dalam kenyataan kepada akhbar.

“Kami tidak akan berdiam diri tentang tuduhan berlebihan peguam khas dan keputusan bercanggah mahkamah dengan perbicaraan pertama mengenainya, serta latar belakang politiknya," tambah mereka.

Mahkamah Daerah Seoul Tengah yang mengumumkan keputusan itu Khamis lepas berkata Yoon berhasrat untuk melumpuhkan parlimen (Perhimpunan Kebangsaan) dengan menghantar tentera ke pekarangan selepas mengisytiharkan undang-undang tentera, memenuhi definisi pemberontakan seperti yang ditetapkan oleh Perlembagaan.

Bekas presiden itu juga dikatakan merancang jenayah tersebut secara peribadi dan memainkan peranan utama, menanggung kos sosial yang besar namun tidak menyatakan permohonan maaf.

Tujuh defendan lain menerima keputusan mereka bersama Yoon termasuk bekas Menteri Pertahanan Kim Yong-hyun, bekas ketua Agensi Polis Negara Cho Ji-ho dan bekas ketua Agensi Polis Metropolitan Seoul Kim Bong-sik.

Bekas menteri pertahanan tersebut dijatuhi hukuman penjara 30 tahun manakala Cho dikenakan 12 tahun (penjara) dan bekas ketua polis Seoul 10 tahun atas peranan mereka dalam cubaan pelaksanaan undang-undang tentera itu.

Yoon sebelum ini dijatuhi hukuman penjara lima tahun dalam perbicaraan berasingan atas pelbagai dakwaan termasuk menghalang percubaan penyiasat untuk menahannya tahun lepas.

-- BERNAMA-YONHAP

 

Must Watch Video