Skip to main content

Dunia

Bekas Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol dipenjara seumur hidup tuduhan rancang darurat tentera

People watch a news report on the sentencing trial of South Korean former president Yoon Suk Yeol's insurrection case, stemming from his short-lived declaration of martial law in December 2024, in Seoul, South Korea, February 19, 2026. REUTERS/Kim Soo-hyeon
Yoon bukan sahaja mengisytiharkan darurat tentera tanpa asas kukuh, malah didakwa mengarahkan tentera dan polis menyekat Parlimen, menahan tokoh politik tertentu serta cuba mengawal institusi pilihan raya. -Foto Reuters

SEOUL: Mahkamah Korea Selatan pada Khamis mensabitkan bekas presiden Yoon Suk Yeol atas kesalahan mengetuai pemberontakan berkaitan cubaan mengisytiharkan darurat tentera pada Disember 2024, satu tindakan yang menurut mahkamah bertujuan “melumpuhkan” Parlimen.

Hakim Ji Gwi‑yeon dari Mahkamah Daerah Pusat Seoul berkata jenayah tersebut terbukti dan merupakan plot terancang yang menjejaskan tertib perlembagaan negara.

Advertisement

Yoon, 65, dijatuhi hukuman penjara seumur hidup, lebih ringan daripada hukuman mati yang dimohon pendakwa raya.

Mahkamah menegaskan Yoon mengetuai perancangan tersebut dan melibatkan ramai individu dalam usaha merampas kuasa, selain mengambil kira ketiadaan rasa kesal serta keengganannya hadir pada prosiding.

Cubaan darurat tentera pada 3 Disember 2024, yang diumumkan Yoon melalui siaran televisyen lewat malam, mencetuskan kekacauan politik berbulan‑bulan sehingga membawa kepada pemecatan serta penahanannya, dan siri pendakwaan atas jenayah termasuk pemberontakan, salah guna kuasa dan halangan terhadap proses keadilan.

Menurut keterangan pendakwa, Yoon bukan sahaja mengisytiharkan darurat tentera tanpa asas kukuh, malah didakwa mengarahkan tentera dan polis menyekat Parlimen, menahan tokoh politik tertentu serta cuba mengawal institusi pilihan raya.

Beberapa pegawai kanan kerajaan turut disabitkan, termasuk bekas Menteri Pertahanan Kim Yong‑hyun yang dijatuhi hukuman 30 tahun penjara, serta bekas Perdana Menteri Han Duck‑soo dan bekas Menteri Dalam Negeri Lee Sang‑min, masing‑masing menerima hukuman panjang berhubung peranan mereka dalam cubaan tersebut.

Walaupun Yoon berhujah tindakan mengisytiharkan darurat tentera itu sah di bawah kuasa presiden bagi mempertahankan negara, mahkamah menolak hujah itu dan menegaskan tindakan tersebut jelas cuba merosakkan sistem demokrasi.

Insiden ini merupakan pengisytiharan darurat tentera pertama dalam tempoh 44 tahun, mengingatkan kembali era pemerintahan tentera Korea Selatan.

Keputusan itu terus mencetuskan perdebatan awam, dengan penyokong dan penentang Yoon berhimpun di luar mahkamah.

Hukuman mati masih wujud dalam undang‑undang Korea Selatan, namun tiada pelaksanaan sejak 1997, menjadikan penjara seumur hidup hukuman maksimum yang realistik.

Must Watch Video