Skip to main content

Dunia

Pelancong ke Jepun merosot 4.9%, penurunan pertama sejak 2022

81726393718_jepunaplikasigod.jpg
Penganalisis menjangka pemulihan pelancong China akan mengambil masa panjang, merujuk pengalaman pada 2012 yang memerlukan 15 bulan untuk pulih. -Gambar fail

TOKYO: Ketibaan pelancong ke Jepun mencatat penurunan pertama dalam tempoh empat tahun apabila angka pelawat pada Januari menurun 4.9% berbanding tempoh sama tahun lalu, menurut data kerajaan yang diumumkan pada Rabu.

Jepun menerima 3.6 juta pelawat, sekali gus menandakan penurunan pertama sejak Januari 2022.

Advertisement

Kejatuhan itu didorong terutamanya oleh penurunan ketara pelancong dari China, yang merosot 61% kepada 385,300, selepas Beijing menasihatkan rakyatnya mengelak perjalanan ke Jepun.

Ia susulan kenyataan Perdana Menteri Sanae Takaichi mengenai kemungkinan tindakan balas ketenteraan sekiranya berlaku serangan China ke atas Taiwan.

Faktor lain ialah perbezaan tarikh cuti Tahun Baharu Cina, yang tahun ini jatuh pada pertengahan Februari, berbanding hujung Januari pada 2025.

Penganalisis menjangka pemulihan pelancong China akan mengambil masa panjang, merujuk pengalaman pada 2012 yang memerlukan 15 bulan untuk pulih.

Walaupun kemasukan pelancong China merosot, ketibaan dari negara lain menunjukkan peningkatan.

Korea Selatan muncul penyumbang terbesar dengan 1.18 juta pelawat, angka bulanan tertinggi pernah dicatatkan dari mana-mana negara.

Taiwan pula meningkat 17% kepada 694,500, manakala ketibaan dari Amerika Syarikat naik 14% kepada 207,800.

Sebaliknya, pelawat Hong Kong menurun 18% kepada 200,000.

Sektor pelancongan Jepun sebelum ini menunjukkan pemulihan kukuh pasca-pandemik dengan angka bulanan melepasi paras pra-COVID.

Namun, penurunan baharu ini mencetuskan kebimbangan terhadap kemungkinan kesan berpanjangan ketegangan diplomatik, terutamanya memandangkan pelancong China menyumbang lebih 21% perbelanjaan pelancongan pada 2025.

Must Watch Video