THE HAGUE: Bekas Presiden Kosovo, Hashim Thaci, dijatuhi hukuman penjara 25 tahun selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan jenayah perang yang dilakukan semasa konflik kemerdekaan Kosovo daripada Serbia pada penghujung 1990-an.
Mahkamah Kosovo Specialist Chambers (KSC) di The Hague, Belanda, memutuskan Thaci, 58, bersalah atas kesalahan termasuk pembunuhan, penyeksaan dan penahanan secara haram ketika beliau merupakan antara komander utama Kosovo Liberation Army (KLA).
Menurut mahkamah, Thaci bertanggungjawab terhadap pembunuhan 96 individu yang dianggap lawan politik atau dikaitkan dengan pasukan keselamatan Serbia sepanjang konflik berkenaan.
Thaci bagaimanapun menafikan semua pertuduhan yang dikenakan terhadapnya dan berdiri dalam keadaan tenang ketika hukuman dibacakan oleh hakim Charles Smith.
Tiga lagi bekas komander kanan KLA turut disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman berasingan.
Jakup Krasniqi dijatuhi hukuman penjara 25 tahun, Kadri Veseli dihukum penjara 18 tahun manakala Rexhep Selimi menerima hukuman 13 tahun penjara, termasuk tempoh tahanan yang telah dijalani sebelum ini.
Bagaimanapun, keempat-empat mereka dibebaskan daripada enam pertuduhan jenayah terhadap kemanusiaan selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan bahawa jenayah tersebut dilakukan sebagai sebahagian daripada serangan meluas dan sistematik terhadap orang awam.
Keputusan itu mencetuskan reaksi berbeza di Kosovo dan Serbia.
Menteri Luar Kosovo, Glauk Konjufca, menyifatkan keputusan mahkamah itu sebagai "buruk dan memudaratkan Kosovo", manakala Perdana Menteri Albania, Edi Rama, menyuarakan rasa kecewa menerusi media sosial.
Di ibu kota Kosovo, Pristina, ribuan penduduk mengikuti pembacaan keputusan mahkamah secara langsung dan ada yang melaungkan slogan menyokong KLA serta Thaci.
Sebaliknya, Timbalan Perdana Menteri Serbia, Ivica Dacic, menyifatkan keputusan itu sebagai pengesahan terhadap dakwaan lama Serbia bahawa KLA merupakan organisasi jenayah.
Konflik Kosovo pada 1998 hingga 1999 mengorbankan kira-kira 13,000 nyawa dan menyebabkan ratusan ribu penduduk kehilangan tempat tinggal.
Selepas perang berakhir, Thaci memainkan peranan penting dalam politik Kosovo dengan pernah berkhidmat sebagai perdana menteri, menteri luar dan kemudian presiden dari 2016 hingga 2020 sebelum meletak jawatan selepas didakwa oleh tribunal khas berkenaan.
Pemerhati berpendapat keputusan itu berpotensi menjejaskan usaha Kosovo mencapai kestabilan politik, ketika negara itu masih berdepan kebuntuan politik dan cabaran untuk memperkukuh hubungan dengan Kesatuan Eropah.