FREETOWN: Bekas Presiden Sierra Leone Ernest Bai Koroma kembali ke Freetown, ibu negara itu, pada Ahad selepas prosiding jenayah terhadapnya berhubung dakwaan penglibatan dalam cubaan rampasan kuasa digugurkan, lapor Xinhua.
Koroma, 72, tiba dari Nigeria dengan ditemani bekas Presiden Nigeria Olusegun Obasanjo dan disambut Menteri Luar Sierra Leone Mohamed Rahman Swaray.
Kerajaan Sierra Leone menggugurkan prosiding jenayah terhadap bekas presiden itu pada Julai, sekali gus menamatkan kes perundangan yang menyusul cubaan rampasan kuasa yang gagal pada November 2023.
Koroma didakwa atas kesalahan mengkhianat dan dikenakan tahanan di rumah selepas sekumpulan lelaki bersenjata menyerang sebuah berek tentera dan dua penjara di Freetown, membebaskan lebih 2,200 banduan.
Sekurang-kurangnya 21 orang termasuk 14 anggota tentera, maut dalam pertempuran ketika kejadian itu.
Kerajaan mendakwa kumpulan penyerang berkenaan mendapat sokongan bekas presiden itu, dakwaan yang dinafikan oleh Koroma.
Bekas presiden itu, yang memerintah Sierra Leone dari 2007 hingga 2018, kemudiannya dibenarkan ikat jamin atas faktor kesihatan dan dibenarkan melakukan perjalanan ke Nigeria pada Januari 2024.
-- BERNAMA-XINHUA