SEOUL: Mahkamah Korea Selatan menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun terhadap bekas Wanita Pertama, Kim Keon-hee selepas didapati bersalah menerima rasuah.
Mahkamah Daerah Pusat Seoul memutuskan isteri kepada bekas Presiden Yoon Suk-yeol itu bersalah menerima barangan mewah, termasuk barang kemas dan beg tangan Dior sebagai balasan untuk mempengaruhi pelantikan jawatan kerajaan.
Hakim memaklumkan barangan tersebut dianggarkan bernilai 103 juta won (kira-kira RM274,800) dan diterima daripada beberapa individu, termasuk seorang pemilik syarikat pembinaan serta usahawan teknologi.
Mahkamah turut menyatakan perbuatan itu menjejaskan kepercayaan awam terhadap integriti proses pelantikan dalam sektor kerajaan.
Selain hukuman penjara, Kim juga diarah membayar denda sebanyak 64.8 juta won (kira-kira RM196,400), selain semua barangan berkaitan rasuah dilucuthakkan.
Kim, 53, yang sedang menjalani hukuman penjara empat tahun dalam kes berasingan membabitkan manipulasi saham dan rasuah, menafikan pertuduhan berkenaan.
Pasukan pembelaannya dilapor akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan tersebut.
Sementara itu, suaminya, Yoon Suk-yeol sebelum ini dijatuhi hukuman penjara seumur hidup pada Februari lalu atas pertuduhan berkaitan pemberontakan susulan cubaan mengisytiharkan undang-undang tentera pada 2024.