DUNIA

Belanda catat kes pertama varian baharu mpox

Bernama 22/10/2025 | 02:00 MYT
Varian baharu yang dikenali sebagai mpox varian 1B itu turut dikesan di Sepanyol dan Amerika Syarikat (AS). - Foto fail/REUTERS
ISTANBUL: Institut kesihatan Belanda mengesahkan kes pertama membabitkan varian baharu virus mpox di negara itu, umum Menteri Kesihatan Jan Anthonie Bruijn pada Selasa menerusi sepucuk surat kepada Parlimen.

Jangkitan yang dikesan pada 17 Okt itu melibatkan seorang lelaki yang tidak pernah menerima vaksin mpox dan tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara baru-baru ini, menurut Institut Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Negara (RIVM).

Pesakit kini dikuarantin, manakala perkhidmatan kesihatan perbandaran memulakan pengesanan kontak rapat, lapor penyiar berita awam NOS yang dipetik oleh Anadolu Ajansi (AA).

Bruijn berkata varian baharu yang dikenali sebagai mpox varian 1B itu turut dikesan di Sepanyol dan Amerika Syarikat (AS).

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah (ECDC) sedang memantau keadaan berkenaan.

Vaksinasi bagi individu berisiko tinggi akan diteruskan sehingga hujung tahun ini dan kerajaan dijangka membuat keputusan kemudian sama ada kempen itu akan dilanjutkan.

Sejak 2022, Belanda merekodkan lebih 1,300 kes mpox susulan wabak global yang bermula tiga tahun lalu.

-- BERNAMA





#mpox #kuarantin #kontak rapat #varian baharu