DUNIA
Belarus bebaskan 52 tahanan politik selepas usaha pengantaraan AS

Antara yang dibebaskan, 14 daripadanya adalah warganegara asing termasuk dari Lithuania, Latvia, Poland, Jerman, Perancis dan Britain. - REUTERS
MOSCOW: Pemimpin Belarus, Alexander Lukashenko membebaskan 52 tahanan politik dan mengusir mereka dari negara itu selepas rundingan dengan Amerika Syarikat (AS), kata Presiden Lithuania pada Khamis, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Presiden Lithuania, Gitanas Nauseda berkata, tahanan berkenaan dibawa melintasi sempadan ke negaranya.
"Tiada siapa ditinggalkan! Seramai 52 tahanan selamat menyeberangi sempadan Lithuania dari Belarus hari ini, meninggalkan pagar berduri, jeriji besi dan ketakutan berterusan," katanya di platform X.
Laporan dari Minsk menyebut, 14 daripada mereka yang dibebaskan adalah warganegara asing termasuk dari Lithuania, Latvia, Poland, Jerman, Perancis dan Britain.Nauseda menzahirkan penghargaan kepada Presiden AS, Donald Trump kerana usaha beliau yang memungkinkan pembebasan itu.
"Saya amat berterima kasih kepada AS dan secara peribadi kepada Presiden Donald Trump atas usaha berterusan membebaskan tahanan politik," tulisnya.
Pengumuman itu dibuat selepas Lukashenko mengadakan pertemuan di Minsk dengan Utusan Khas AS, John Coale.
Menurut kumpulan hak asasi Viasna, antara yang dibebaskan ialah bekas calon Presiden Nikolai Statkevich.
Namun, tiada maklumat mengenai tokoh pembangkang terkenal, Maria Kolesnikova.
Lukashenko sebelum ini bertindak keras terhadap protes besar-besaran pada 2020 selepas kemenangannya dalam pilihan raya yang dipertikai ramai.
Kesatuan Eropah (EU) sejak itu tidak mengiktiraf beliau sebagai Presiden sah Belarus, manakala ribuan penyokong pembangkang ditahan.
Walaupun lama dianggap sekutu rapat Presiden Rusia, Vladimir Putin, Lukashenko sejak beberapa bulan lepas dilihat mendekati Washington.
Pada Jun lepas, selepas rundingan awal dengan AS, beliau turut membebaskan beberapa tokoh pembangkang termasuk penulis blog terkenal, Sergei Tikhanovsky.
Namun, kumpulan hak asasi berkata lebih 1,000 tahanan politik masih meringkuk di penjara Belarus.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami