Tan Sri Dr Surin Pitsuwan, satu nama yang cukup besar dalam dunia politik Thailand dan juga rantau ASEAN. Anak jati Nakorn Sri Thammarat, sebuah bandar di selatan Thai itu dilahirkan pada 28 Oktober 1949. Beliau merupakan bekas Menteri Luar Thailand dan juga Setiausaha Agung ASEAN.

Mendapat pendidikan awal di bandar kelahirannya di selatan Thai, Dr Surin merupakan graduan dari universiti terkemuka dunia iaitu Universiti Harvard dalam bidang Sains Politik dan Asia Barat.

Karier Dr Surin bermula sebagai seorang ahli akademik dan pernah berkhidmat dengan pelbagai universiti di Thailand mahupun antarabangsa. Beliau fasih berbahasa Arab dan pernah menyambung pengajian di Kaherah, Mesir. Selain itu, beliau aktif sebagai kolumnis di Nation dan Bangkok Post, dua akhbar berbahasa Inggeris utama di Thailand dari 1975-1992.

BACA : Surin Pitsuwan meninggal dunia akibat serangan jantung

Dr Surin mula bertanding kerusi parlimen di bandar kelahirannya pada 1986. Sebagai ahli parlimen, beliau dilantik sebagai setiausaha kepada ‘speaker’ dewan undangan ketika itu; Chuan Leekpai, setiausaha kepada Timbalan Menteri Dalam Negeri sebelum dilantik menjadi Timbalan Menteri Dalam Negeri. Beliau berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Luar pada 1992-1995 dan seterusnya Menteri Luar pada 1997-2001.

Dr Surin memainkan peranan yang cukup besar ketika konflik yang tercetus di Timor Leste pada 1999. Beliau menerajui negara-negara ASEAN selain mendapat sokongan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu PBB dan komuniti antarabangsa berjaya mengembalikan keamanan di negara itu.

Ketika Myanmar dilanda siklon Nargis pada Mei 2008, Dr Surin berjaya mendapat sokongan ahli ASEAN, PBB serta beberapa institusi antarabangsa seperti World Bank dan juga badan bukan kerajaan NGO dalam misi pemuliharaan selepas tragedi. Beliau berada di negara itu sehinggalah misi tersebut tamat sepenuhnya pada Disember 2010.

Selepas berakhirnya tempoh perkhidmatannya sebagai Setiausaha Agung ASEAN, Dr Surin dilantik sebagai Profesor Emeritus di Universiti Thammasat. Beliau juga adalah Penasihat Kehormat dan Felo Pelawat di Institut King Prajadhipok, sebuah badan penasihat akademik kepada parlimen Thai.

Dr Surin juga pernah menjadi ahli visi suruhanjaya Bank Pembangunan Islam 1440 A.H (2020) di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Beliau dianugerahkan pingat yang membawa kepada gelaran ‘Tan Sri’ ketika hari keputeraan Seri Paduka Baginda yang ke-14, Al Marhum Maulana Al-Sultan Al-Mu'tassimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Al-Haj Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah.

Dr Surin aktif dalam usaha mempromosikan intergrasi serantau di Asia dan juga reformasi bidang Pendidikan dan politik di Thailand. Beliau sering dijemput sebagai panel dalam pelbagai platform diskusi dan persidangan global.

Kali terakhir Tan Sri Surin ditemubual oleh pihak Astro Awani adalah pada Oktober lalu ketika ASEAN INTEGRITY DIALOGUE 2017: Reinventing Good Governance Through Universal Values untuk program bual bicara Agenda AWANI.