Belon gergasi 'Trump Baby' dapat kebenaran untuk diapungkan

Agensi
Julai 6, 2018 11:42 MYT
Belon gergasi ini akan menyambut kehadiran Trump di London pada 13 Julai ini. - REUTERS
BELON gergasi 'Trump Baby' sedia untuk diapungkan berdekatan bangunan Parlimen United Kingdom semasa lawatan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump ke London minggu depan, selepas kebenaran dikeluarkan oleh Datuk Bandar London, Sadiq Khan.
Permohonan mengapungkan belon itu diluluskan oleh Khan selepas lebih 10,000 orang menandatangani petisyen dan sumbangan 16,000 pound sterling (RM 85,512) diterima melalui kempen crowdfunding.
Belon bersaiz 6 meter itu akan diapungkan selama dua jam pada pagi Jumaat, 13 Julai, pada masa yang sama berlangsungnya perarakan "Stop Trump" di bandaraya London.
"Datuk Bandar menyokong hak melakukan protes secara aman. Pasukan operasi bandar telah bertemu dengan pihak penganjur dan telah memberi mereka kebenaran untuk menggunakan kawasan Parlimen Square Garden sebagai tapak permulaan," kenyataan dari pejabat Datuk Bandar menyebut.
Walau bagaimanapun, penganjur masih perlu menunggu kelulusan daripada pihak Polis dan Perkhidmatan Trafik Udara Kebangsaan jika mahu menerbangkan dan menggerakkan belon itu ke lokasi lain.
Belon gergasi itu juga tidak dibenarkan untuk diapungkan lebih daripada 30 meter (atau 98 kaki).
#Amerika Syarikat #belon #Donald Trump #London #Parlimen #presiden #protes #Sadiq Khan #Trump Baby #United Kingdom