DUNIA
Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini
Berita luar negara yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.
ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Sabtu, 6 Jun 2020.
Kes COVID-19 di India dan Asia Selatan bertambah dua kali ganda setiap tiga minggu, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
WHO memaklumkan, di Asia Selatan termasuk India, Bangladesh, Pakistan dan negara lain yang berpenduduk padat, perebakan virus itu tidak ketara tetapi risikonya tetap ada.
Empat anggota tentera Indonesia (TNI) terbunuh, selepas helikopter MI-17 milik TNI, terhempas di Kaliwungu, Kecamatan Kendal, di Jawa Tengah.
Dalam kejadian 1.40 petang tadi itu, helikopter berkenaan dinaiki sembilan anggota TNI, dalam misi latihan penerbangan.
Pertbuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sekali lagi mengubah pendiriannya terhadap pemakaian pelitup muka sejak tercetusnya wabak COVID-19 hujung tahun lalu.
Pada Jumaat, pertubuhan itu memperbaharui nasihatnya kepada kerajaan untuk meminta orang ramai memakai pelitup muka kain di ruang awam yang mempunyai risiko jangkitan COVID-19 bagi mengurangkan penularan virus itu.
Thailand melaporkan dua kes baharu COVID-19 membabitkan dua lelaki Thai yang baru pulang dari luar negara, dan sifar kematian dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 setakat ini sebanyak 3,104 dengan 58 kematian.
Angka korban akibat COVID-19 terus mencatatkan peningkatan.
Statistik Johns Hopkins University menunjukkan jumlah kematian akibat COVID-19 di seluruh dunia mencatatkan kenaikan 5,000 kes dalam tempoh 24 jam sehingga pagi ini.
Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan udara pertama terhadap Taliban selepas penamatan tiga hari gencatan senjata sempena Aidilfitri minggu lalu.
Jurucakap tentera AS, Sonny Leggett, dalam laman Twitternya menjelaskan, ia serangan udara pertama AS terhadap Taliban selepas gencatan senjata tiga hari berakhir pada 26 Mei lalu.
Arab Saudi mengumumkan penutupan semula di Jeddah, pintu masuk untuk semua jemaah masuk ke Mekah dalam usaha mengekang COVID-19 daripada tersebar semula.
Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau menyertai ribuan lain melutut di hadapan Parlimen Kanada sebagai solidariti terhadap penunjuk perasaan Amerika Syarikat yang berarak menentang perkauman dan kekejaman polis.
Singapura mengesahkan 344 kes baharu COVID-19, menjadikan jumlahnya meningkat kepada 37,527 kes.
Kes positif COVID-19 di Indonesia terus meningkat, melepasi angka 30,000 dengan 993 kes baharu, dalam tempoh 24 jam.