Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini

Khairunnisa Kasnoon
Julai 21, 2020 14:35 MYT
ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Selasa 21 Julai 2020
ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Selasa, 21 Julai 2020 .
1) Enggan tandatangan dokumen kuarantin diri, pasangan ini dipakaikan 'ankle monitor'
Sepasang suami isteri di Kentucky, Amerika Syarikat sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang selepas dikenakan house arrest dan dipaksa memakai monitor pergelangan kaki.
Ia susulan keengganan mereka menandatangani dokumen arahan kuarantin diri, selepas didapati positif COVID-19.
2) Dua lagi menteri kabinet Brazil positif COVID-19
PRESIDEN Brazil, Jair Bolsonaro mengesahkan dua lagi menteri kabinetnya positif COVID-19 selepas melalui ujian virus berkenaan.
Mereka ialah Menteri Kewarganeraan, Onyx Lorenzoni and Menteri Pendidikan, Milton Ribeiro.
3) COVID-19: White House, Republikan bincang pelan rangsangan baharu
PEMIMPIN Demokrat dijangka mengadakan pertemuan dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk bincangkan pelan rangsangan AS$3 trilion mereka.
Kenyataan berkenaan dikeluarkan susulan pertemuan Trump dengan pemimpin Republikan di White House.
4) COVID-19: Filipina tingkatkan pengujian, beri amaran tahan individu tidak pakai pelitup muka
Filipina akan meningkatkan pengujian COVID-19 ketika negara itu mengalami peningkatan mendadak jumlah jangkitan dan kematian sejak perintah berkurung mula dilonggarkan sejak Jun lalu.
Presiden Filipina, Rodrigo Duterte pula memberi amaran pihak berkuasa akan menahan sesiapa sahaja yang tidak memakai pelitup muka.
5) Didakwa guna buruh paksa: AS sekat 11 syarikat China
JABATAN Perdagangan Amerika Syarikat (AS) mengumumkan sekatan ke atas 11 syarikat China yang didakwa terlibat dalam pelanggaran hak asasi manusia di Xinjiang.
Menurut laporan Reuters, syarikat tersebut disenarai hitam kerana didakwa terlibat dalam penggunaan buruh paksa dalam kalangan etnik Uighur dan etnik minoriti lain.
6) Aktivis Jerman diculik di Iraq
Seorang aktivis Jerman diculik lelaki bersenjata tidak dikenali di Baghdad, Iraq pada Isnin, kata polis.
Hella Mewis yang juga ketua jabatan budaya Institut Goethe Jerman di Baghdad, diculik berdekatan dengan pejabatnya di Jalan Abu Nuwas pada waktu petang, kata polis Iraq Ahmad Khalaf kepada agensi berita Anadolu.
7) Ibu pejabat PBB di New York dibuka semula
Ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York pada Isnin memulakan fasa pertama pembukaan semula selepas ditutup selama empat bulan berikutan penularan COVID-19, lapor agensi berita Xinhua.
"Fasa pertama bermaksud tidak lebih 400 orang akan berada di pejabat pada hari tertentu," kata jurucakap Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres, Stephane Dujarric, dalam satu taklimat.
8) Nicki Minaj mengandung anak pertama, beri kejutan kepada peminat melalui Instagram
Ratu rap antarabangsa Nicki Minaj membuat kejutan pada Isnin apabila beliau mengumumkan sedang mengandung anak sulung, hasil perkongsian hidup dengan Eksekutif Muzik, Kenneth Petty.
Dengan kapsyen - “#preggers - penyanyi berusia 37 tahun itu berkongsikan sekeping gambar beliau sedang memegang perut kepada 119 juta pengikut di laman Instagram.
9) New York benarkan lawatan ke Statue of Liberty
New York pada Isnin memasuki Fasa 4 pembukaan semula ekonominya dan mula membuka sebahagian lokasi tumpuan pelancong selepas ditutup lebih tiga bulan.
Antara yang kini dibenarkan, lawatan menaiki feri ke Statue of Liberty, patung gergasi kebanggaan Amerika Syarikat yang terletak di Pulau Liberty.
10) COVID-19: 14.6 juta jangkitan, lebih 608,000 kematian seluruh dunia
ANGKA jangkitan COVID-19 di seluruh dunia kini mencecah 14.6 juta kes.
Data terbaharu Johns Hopkins University memaklumkan, terdapat pertambahan lebih 220,000 kes baharu dalam tempoh 24 jam.
#Astro #Astro Awani #berita antarabangsa