Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini

Astro Awani
Mei 21, 2021 15:43 MYT
Antara pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.
ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Jumaat 21 Mei 2021.
1. Gencatan senjata Gaza: Semua pihak mesti usaha cari penyelesaian damai yang kekal - Hishammuddin
Malaysia menggesa semua pihak untuk mengambil peluang daripada gencatan senjata di Gaza untuk meredakan ketegangan dan berusaha mencari penyelesaian damai yang berkekalan untuk konflik berkenaan.
2. Thailand: Daftar vaksin COVID-19 berpeluang dapat cabutan bertuah perhiasan emas, anak lembu
Dalam usaha untuk meningkatkan kadar inokulasi, pihak berkuasa wilayah di Thailand menawarkan berbagai hadiah daripada perhiasan emas hinggalah anak lembu sebagai cabutan bertuah kepada mereka yang mendaftar untuk mendapatkan vaksin COVID-19.
3. WTO sarankan pengeluaran vaksin tidak tertumpu di benua setempat
Pertubuhan Perdagangan Sedunia sarankan supaya pengeluaran vaksin dunia tidak tertumpu di benua setempat. Sebaliknya ia perlu diperluaskan supaya kapasiti perolehan vaksin kalangan negara seimbang.
4. COVID-19 | Angka korban global lebihi 3.42 juta kes
Angka kematian akibat COVID-19 seluruh dunia kini melebihi 3.42 juta kes. Ia selepas lebih puluhan ribu kematian baharu direkodkan secara global dalam tempoh 24 jam lepas.
5. Pencerobohan Israel | Mesir bantu pembangunan semula wilayah Palestin
Duta Mesir ke Pertubuhan Bangsa Bersatu, umum akan membiayai proses pembinaan semula wilayah Palestin yang musnah akibat pertempuran 11 hari. Bagi tujuan itu, ia peruntukkan dana sebanyak 500 juta dolar.
6. COVID-19: Thailand buka lebih banyak hospital lapangan
Thailand membuka hospital lapangan yang keenam di Bangkok susulan lonjakan kes COVID-19 sejak awal April.
7. Polisi anti-Zionis kerajaan Republik Ireland perlu dicontohi - Dr Afifi
Malaysia dan negara-negara Islam lain perlu meneladani langkah yang diambil kerajaan Republik Ireland untuk menentang kedurjanaan rejim Zionis di Palestin. Felo Pusat Pengajian Islam Universiti Oxford, Datuk Dr Afifi al-Akiti memberitahu, republik itu melaksanakan dasar yang menyekat terus sebarang hubungan dan aktiviti dengan Israel.
8. Reunion siri Friends, peminat bimbang keadaan Matthew Perry
Pelakon Matthew Perry mencetuskan kebimbangan peminat apabila kerap tersasul dan percakapannya juga tidak jelas dalam satu video promosi reunion Friends.
9. Ketentuan nasib Liverpool dalam genggaman sendiri
Setelah mengharungi pelbagai episod penuh duka, Liverpool mencatatkan rekod lapan perlawanan tanpa kalah dan mendaki sehingga ke tangga keempat liga selepas menewaskan Burnley awal pagi semalam.
10. Zionis Israel langgar gencatan senjata, serang Masjid Al-Aqsa
Pihak polis Israel bertindak menyerbu ruang sekitar Masjid Al-Aqsa dan melepaskan gas pemedih mata ke arah rakyat Palestin.
#Astro Awani #Thailand #Gaza #Malaysia #COVID-19 #vaksin #WTO #Afrika #Israel #Palestin #Liverpool #Mesir #Zionis #Bangkok