Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini

Astro Awani
Oktober 26, 2021 15:50 MYT
Antara pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.
ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Selasa, 26 Oktober 2021.
1. Bekas Presiden Korea Selatan Roh Tae Woo meninggal dunia
Bekas Presiden Korea Selatan Roh Tae Woo meninggal dunia pada Selasa pada usia 88 tahun. Roh, yang berkhidmat sebagai presiden dari 1988-1993, baru-baru ini dimasukkan ke hospital selepas kesihatannya merosot.
2. Vaksin COVID-19 | AS perinci polisi baharu terhadap pengembara
Pentadbiran Presiden Joe Biden memperincikan polisi pengembaraan COVID-19 buat pengembara antarabagsa yang tiba di negara itu. Polisi baharu termasuk pengecualian terhadap kanak-kanak dan kaedah pengesanan kontak yang baharu.
3. Anak masih di penjara, Shah Rukh Khan, isteri tidak mahu sambut ulang tahun perkahwinan tanpa Aryan
Bintang filem Bollywood Shah Rukh Khan dan isterinya, Gauri Khan dilaporkan tidak akan menyambut ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-30 pada Isnin depan. Gauri dilaporkan, sebelum ini, telah bernazar dengan melarang pengambilan gula atau memasak manisan di kediaman mereka sehingga Aryan dibebaskan.
4. Malaysia sokong penuh keputusan Pengerusi ASEAN berhubung perwakilan Myanmar - PM
Malaysia menyokong penuh keputusan Brunei selaku Pengerusi ASEAN, berhubung isu perwakilan dari Myanmar pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-38 dan ke-39 serta Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
5. Vaksin COVID-19 | EMA benarkan dos penggalak vaksin Moderna
Badan Kawal Selia Ubat-Ubatan Eropah (EMA) membuat kesimpulan dalam semakannya bahawa dos penggalak vaksin COVID-19 Moderna boleh diberikan kepada individu berusia 18 tahun dan ke atas, sekurang-kurangnya enam bulan selepas dos kedua.
6. ASEAN | Presiden Biden akan sertai sidang kemuncak hari ini
Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden akan mengambil bahagian dalam Sidang Kemuncak Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) yang dijalankan secara maya pada hari ini.
7. 2 maut insiden tembakan rambang di Idaho, AS
Dua terbunuh manakala beberapa lagi cedera, termasuk seorang pegawai polis, selepas seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan rambang di sebuah pusat beli-belah di Boise, Idaho, pada Isnin.
8. Arab Saudi lancar inisiatif iklim berjumlah AS$10.4 bilion
Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman pada Isnin melancarkan inisiatif serantau berjumlah 39 bilion riyal Saudi (AS$10.4 bilion) untuk menangani perubahan iklim dengan kerajaan itu akan menyumbang sebanyak 15 peratus daripada jumlah itu.
9. ASEAN mula bersidang, antara agenda utama COVID-19 dan pemulihan ekonomi
Negara anggota ASEAN pada Selasa memulakan sidang kemuncak ke-38 dan ke-39 secara maya, dengan Brunei selaku pengerusi, antara lain menumpukan kepada agenda memerangi pandemik COVID-19 dan menggalakkan pemulihan ekonomi.
10. AS gantung bantuan US$700 juta kepada Sudan selepas rampasan kuasa tentera
Amerika Syarikat (AS) pada Isnin menggantung bantuan ekonomi berjumlah US$700 juta kepada Sudan selepas pasukan tentera negara itu menahan pemimpin dan pegawai awam, termasuk Perdana Menteri (Abdalla) Hamdok.
#ASEAN #Joe Biden #Shah Rukh Khan #COVID-19 #Moderna #Roh Tae Woo #Myanmar #dos penggalak