Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini
Astro Awani
Jun 6, 2022 15:59 MYT
Jun 6, 2022 15:59 MYT
ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Isnin, 6 Jun 2022.
Kapal angkasa Shenzhou-14 yang dibawa roket Long March-2F berjaya dilancarkan dari Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan di barat laut China, tepat pukul 10.44 pagi Ahad.
Gempa bumi sederhana berukuran 5.2 pada skala Richter melanda Papua, Indonesia pada jam 4.29 petang tadi.
Menteri Kewangan Singapura, Lawrence Wong dilantik Timbalan Perdana Menteri yang baharu. Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong melalui laman Instagramnya mengumumkan, pelantikan Wong merupakan sebahagian daripada rombakan Kabinet yang berkuatkuasa 13 Jun ini.
Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS) pada Ahad menguji sebanyak lapan peluru berpandu sebagai tindak balas kepada ujian peluru berpandu terbaru Korea Utara.
Perdana Menteri United Kingdom (UK) Boris Johnson sah bakal menghadapi undi tidak percaya terhadapnya di Parlimen malam ini. Usul itu tercetus selepas terdapat permintaan daripada sekurang-kurangnya 54 Ahli Parlimen Tory.
Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura pada 4 Jun lepas dimaklumkan Kementerian Kesihatan New South Wales, mengenai satu kes cacar monyet melibatkan pengembara yang transit di Singapura pada 2 Jun.
Pasar raya FairPrice tampil membuat kenyataan bagi menjelaskan satu gambar tular yang memaparkan label harga ayam dari Malaysia yang mencecah S$72.27 atau bersamaan RM232.
Pengeluar kereta Jerman Mercedes-Benz memanggil balik hampir sejuta unit kereta model lama dari seluruh dunia susulan masalah sistem brek.
Jepun sedang mempertimbang untuk meneruskan kempen diskaun perjalanan nasional sejurus akhir bulan ini untuk membantu industri pelancongan pulih daripada kemerosotan COVID-19.
Ratu Elizabeth II, raja paling lama berada di atas takhta di United Kingdom (UK), pada Ahad berikrar untuk terus berkhidmat kepada rakyat selepas sambutan 70 tahun pemerintahannya.