ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang Jumaat, 22 Julai 2022.

1. Kematian Shinzo Abe | Kerajaan Jepun umum pengebumian negara pada 27 September

Kerajaan Jepun pada Jumaat mengumumkan akan mengadakan istiadat pengebumian negara untuk bekas Perdana Menteri, Shinzo Abe pada 27 September depan. Perkara itu diumumkan Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Hirokazu Matsuno.

2. Konflik Ukraine | Sektor ekonomi dijangka terus menguncup

Ekonomi Ukraine diramal menguncup kepada satu pertiga pada 2022. Bagaimanapun menurut Gabenor Bank Negara Ukraine, Kyrylo Shev-Chenko, ia boleh kembali catat pertumbuhan pada 2023 hingga 2024 jika pelabuhan laut hitam dibuka semula.

3. Serangan Israel | Tiga askar Syria terkorban, tujuh cedera

Tiga askar Syria terkorban manakala tujuh cedera dalam serangan udara dilancarkan Israel yang menyasarkan markas tentera di sekitar damsyik pada Khamis malam. Menurut laporan media, serangan peluru berpandu itu dilancarkan di Bukit Golan namun tentera Syria pada masa sama berjaya menembak jatuh beberapa peluru berpandu dilancarkan rejim.

4. Dinesh Gunawardena angkat sumpah PM baharu Sri Lanka

Ahli politik veteran Sri Lanka, Dinesh Gunawardena, mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri baharu negara itu pad Jumaat, sehari selepas Ranil Wickremesinghe mengangkat sumpah sebagai Presiden.

5. Serbu penunjuk perasaan, pentadbiran baharu Sri Lanka dikritik

Pentadbiran baharu Sri Lanka berdepan kritikan hebat susulan serbuan yang dijalankan di sebuah kem yang menjadi pusat utama menempatkan penunjuk perasaan antikerajaan.

6. Teleskop Angkasa James Webb temui galaksi berusia 13.5 bilion tahun

Semakin tinggi pencapaian teknologi manusia, semakin itulah manusia boleh merenungi keajaiban ciptaan alam semesta yang tidak terbatas.

7. Polio | New York lapor kes pertama dalam sedekad

New York melaporkan kes Polio yang pertama di Amerika Syarikat (AS) dalam hampir sedekad. Bagaimanapun, tiada perincian berkenaan keadaan semasa atau status vaksin pesakit.

8. Politik Itali | Parlimen bubar, pilihan raya dijangka September

Presiden Itali, Sergio Mattarella umum pembubaran Parlimen dan membuka jalan kepada pilihan raya awal. Ia susulan peletakan jawatan Perdana Menteri, Mario Draghi, selepas kerajaan campuran pimpinannya runtuh.

9. COVID-19 | Presiden AS Joe Biden disahkan positif, alami simptom ringan

Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden disahkan positif COVID-19 pada Khamis. White House dalam kenyataan memaklumkan beliau hanya mengalami simptom ringan.

10. Droupadi Murmu presiden baharu India

Seorang ahli politik wanita daripada komuniti puak di negeri timur Odisha bakal menjadi presiden baharu India.