Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini
Astro Awani
November 16, 2023 15:53 MYT
November 16, 2023 15:53 MYT
ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang Khamis, 16 November 2023.
Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akhirnya mencapai resolusi menggesa agar gencatan kemanusiaan segera dan dilanjutkan dalam pertempuran antara Israel dan Pejuang Hamas di Semenanjung Gaza.
Wakil Tetap Israel ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Gilad Erdan mendakwa, resolusi yang menggesa gencatan kemanusiaan di Gaza yang dicapai Majlis Keselamatan pertubuhan antarabangsa itu “tidak memberi sebarang makna” selain disifatkan “terpisah daripada realiti.”
Untuk kali pertama sejak perang bermula, pemimping pembangkang Israel, Yair Lapid menyeru Benjamin Netanyahu untuk meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.
Menteri Luar Jordan, Ayman Safadi, mengutuk pengeboman Israel di sekitar hospital medan Jordan di Gaza sambil menyifatkannya sebagai "jenayah perang".
Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menegaskan, adalah penting bagi beliau dan rakan sejawatannya dari China, Xi Jinping untuk memahami antara satu sama lain dengan lebih terbuka sebaik kedua-dua pemimpin itu memulakan persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).
Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dan Presiden China, Xi Jinping pada Rabu berikrar menstabilkan hubungan kedua-dua negara menerusi perjanjian sederhana untuk memerangi penggunaan fentanyl (ubat tahan sakit jenis narkotik opioid) dan mewujudkan semula komunikasi tentera.
China terus mempergiat kerjasama ekonomi dan perdagangan dengan anggota Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) sehingga menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi serantau.
Para Menteri Pertahanan ASEAN menggesa kod tatalaku komprehensif di Laut China Selatan dimuktamadkan pada kadar segera sejajar dengan undang-undang antarabangsa, termasuk UNCLOS.
Ribut pasir dan debu semakin kerap berlaku di sesetengah tempat di seluruh dunia, dengan sekurang-kurangnya satu perempat daripada ribut yang berlaku berpunca daripada manusia, menurut Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Menangani Penggurunan (UNCCD).
Wabak taun di Sudan terus menular di saat akses kepada penjagaan kesihatan berdepan kekangan manakala perang saudara berterusan, menurut Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) pada Rabu.