Berita Terkini ASEAN25: Kemajuan penyelesaian konflik Myanmar bukan kecil, permulaan yang baik - PM Anwar

Anwar menegaskan, kemajuan yang dicapai sepanjang Malaysia memegang kepengerusian ASEAN bukan kecil, malah ia adalah permulaan yang baik. - Gambar/ Astro AWANI/ Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui masih banyak perkara yang perlu dilakukan untuk menyelesaikan konflik kemanusiaan di Myanmar, termasuk pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC) ASEAN.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui masih banyak usaha diperlukan untuk menyelesaikan konflik kemanusiaan di Myanmar, namun menyifatkan pencapaian Malaysia sepanjang mempengerusikan ASEAN sebagai permulaan yang baik.
- Malaysia menekankan keperluan menghentikan serangan terhadap komuniti Buddha dan Muslim di Rakhine, serta menolak tindakan pembunuhan dan pemusnahan kampung oleh tentera Myanmar.
- ASEAN menyuarakan kebimbangan terhadap keganasan berterusan di Myanmar, menggesa semua pihak mengambil tindakan konkrit menghentikan konflik, dan mempercepatkan pelaksanaan Konsensus Lima Perkara termasuk penyaluran bantuan kemanusiaan.
“Bagi saya walaupun tidak (selesai) sepenuhnya, itu kejayaan sangat besar, permulaannya. Dan sekarang kita teruskan, (isu) yang bagi saya agak rumit kerana libatkan perundingan, hak warganegara dan sebagainya.
“Tetapi bagi saya, saya bagitahu kepada Senior General Myanmar (Min Aun Hlaing), kita tak boleh terima serangan pembunuhan, memusnahkan kampung dan sebagainya. Jadi ada permulaan yang baik, saya setuju saya mengaku, masih banyak kita harus kita lakukan,” katanya lagi.
Pada 25 Oktober lepas, pemimpin negara-negara ASEAN menzahirkan kebimbangan terhadap perkembangan semasa berhubung konflik kemanusiaan di Myanmar yang semakin meruncing, serta kelembapan proses pelaksanaan 5PC.
ASEAN menyatakan, pemimpin negara serantau turut mengecam tindakan keganasan yang berterusan terhadap rakyat Myanmar, fasiliti awam, dan infrastruktur.
ASEAN menggesa semua pihak terlibat untuk mengambil tindakan konkrit bagi menghentikan keganasan secara sewenang-wenangnya, menolak sebarang peningkatan konflik, serta mengamalkan tahap kawalan yang paling tinggi.
Media sebelum ini melaporkan, Tentera Myanmar melancarkan serangan udara pada 7 Oktober lepas ke atas orang awam yang sedang menyambut Festival Thadingyut dan mengadakan tunjuk perasaan anti-junta di daerah Chaung U, wilayah tengah Myanmar.
Serangan tersebut menggunakan paragliding bermotor yang menjatuhkan dua bom, mengorbankan sekurang-kurangnya 40 orang termasuk kanak-kanak, dan mencederakan sekitar 80 orang.
Konsensus Lima Perkara (5PC) ASEAN antara lain menegaskan keperluan untuk Kerajaan Myanmar menghentikan keganasan dengan segera; mengadakan dialog konstruktif dengan semua pihak; dan menyambut pelantikan utusan khas ASEAN.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


