Berita Terkini ASEAN25: Penyertaan Finland dalam TAC satu lagi cerminan keterbukaan ASEAN

Mohamad menyaksikan Menteri Luar Finland, Elina Valtonen menandatangani Instrumen Penyertaan kepada Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC) oleh Republik Finland. - Bernama
KUALA LUMPUR: Penyertaan Finland ke dalam Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC), bukan sekadar hubungan diplomatik, tetapi juga jambatan yang menghubungkan benua Eropah dan Asia Tenggara.
Ringkasan AI
- Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan penyertaan Finland dalam Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC) sebagai jambatan penting yang menghubungkan Asia Tenggara dan Eropah, berasaskan kepercayaan dan visi bersama untuk tata dunia inklusif dan berperaturan.
- Finland membawa pengalaman dalam inovasi, kelestarian dan daya tahan, yang berpotensi memperkukuh kerjasama ASEAN dalam transformasi digital, pembangunan mampan, hubungan maritim dan pertukaran antara rakyat.
- Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN menegaskan komitmen terhadap TAC sebagai asas kerjasama dan dialog membina. TAC kekal relevan selepas lima dekad sebagai kompas moral ASEAN dalam diplomasi dan keamanan serantau.
“Finland membawa bersamanya kekayaan pengalaman yang dibentuk oleh sejarahnya, institusi yang kukuh, serta reputasinya di peringkat global dalam bidang inovasi, kelestarian dan daya tahan.
“Bersama-sama, ASEAN dan Finland boleh membuka peluang yang amat besar - daripada memajukan transformasi digital dan pembangunan mampan, sehinggalah memperkukuh kerjasama maritim dan hubungan antara rakyat,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian sewaktu berucap di Majlis Penandatanganan Instrumen Penyertaan Perjanjian Perdamaian dan Kerjasama di Asia Tenggara oleh Finland, sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di ibu negara pada Sabtu.
Dalam pada itu Mohamad berkata, sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia sekali lagi menegaskan sokongan teguhnya terhadap kerjasama yang semakin berkembang ini, serta komitmen untuk memastikan bahawa TAC terus menjadi asas kepada kerjasama yang bermakna dan dialog yang membina.
Beliau berkata, sejak diperkenalkan pada tahun 1976, TAC telah menjadi tunjang pendekatan ASEAN terhadap kewujudan bersama secara aman, yang dipandu oleh prinsip saling menghormati, tidak campur tangan, dan penyelesaian pertikaian secara aman.
Lima dekad kemudian, Mohamad berkata, prinsip-prinsip itu kekal relevan, dan memberi kejelasan dalam dunia yang semakin kompleks.
“TAC merupakan kompas moral yang terus membimbing kita ke arah diplomasi dan keamanan,” katanya lagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


