Berita Terkini ASEAN25: PKS lebih mudah cari makan dengan syarikat AS dan Eropah berbanding China - Penganalisis

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan sidang-sidang berkaitan akan berlangsung pada 26 hingga 28 Oktober melibatkan ketua negara ASEAN serta pemimpin negara rakan dialog. - Reuters
KUALA LUMPUR: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) lebih mudah mendapat peluang terlibat dalam rantaian bekalan dan nilai jika bekerjasama dengan syarikat Amerika Syarikat (AS) dan Eropah, berbanding syarikat berpangkalan dari China.
Ringkasan AI
- PKS lebih mudah menyertai rantaian bekalan syarikat AS dan Eropah kerana dasar keterbukaan mereka terhadap pemimpin tempatan dan pemindahan teknologi.
- Syarikat China cenderung menggunakan sumber dalaman sendiri, menyebabkan peluang PKS tempatan lebih terhad dalam ekosistem perniagaan mereka.
- ASEAN kekal sebagai destinasi pelaburan menarik, dengan AS menjadi penyumbang utama FDI, menunjukkan kepentingan rantau ini kepada kuasa besar dunia.
"AS dan negara-negara barat ada dasar pemindahan teknologi, harta intelek dan intelektual. Oleh itu, kita lihat banyak syarikat gergasi Eropah dan AS melantik pemimpin organisasi C-suite dalam kalangan orang tempatan, berbanding dengan amalan China.
“Apabila kita nampak ketua-ketua korporat ini dalam kalangan orang tempatan, maka kita nampak juga peluang penyertaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam rantaian bekalan.
“Tetapi berdasarkan pengalaman saya sendiri apabila berdagang dengan China, mereka akan dapatkan sebarang sumber yang diperlukan dalam kalangan orang China sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Dialog Tiga Penjuru pada Khamis.
Tambah Chris, syarikat-syarikat China perlu belajar daripada tindakan syarikat-syarikat barat sekiranya mahu terus mengukuhkan hubungan dagang dengan negara-negara ASEAN.
“Mungkin pelabur China perlukan masa untuk belajar cara berdagang dengan kita. Kita ada budaya dan tradisi berniaga tersendiri. Kalau kita tidak jaga PKS kita dan mereka gulung tikar, akan timbul masalah sosial,” tambahnya.
Dalam temu bual sama, Pengarah Strategi KRA Group, Amir Fareed Rahim pula berpandangan iklim ekonomi dan statistik perdagangan global semasa menunjukkan tidak ada mana-mana kuasa besar dunia boleh meremehkan permintaan negara-negara ASEAN berkaitan aturan perdagangan dua hala.
"Pada tahun lalu, aliran pelaburan langsung asing (FDI) tertinggi ke Asia tenggara masih datang daripada Amerika Syarikat (AS) yang mewakili sekitar 18 peratus daripada sekitar AS$228 bilion keseluruhan FDI yang dicatatkan.
“Pelaburan AS itu juga mencatatkan peningkatan 8.5 peratus berbanding tahun sebelumnya. Mahu tidak mahu, Asia tenggara masih merupakan rantau yang sangat menarik kepada mana-mana kuasa besar. Oleh itu, tidak ada pihak yang boleh panjang kita secara enteng,” ujarnya.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan sidang-sidang berkaitan akan berlangsung pada 26 hingga 28 Oktober melibatkan ketua negara ASEAN serta pemimpin negara rakan dialog.
Selain pemimpin ASEAN, lebih 20 pemimpin dunia dijadual menghadiri sidang kemuncak itu termasuk Trump, dan ini merupakan penglibatkan kedua Trump dalam Sidang Kemuncak ASEAN serta kehadiran pemimpin utama AS ketiga ke dalam negara selepas Barack Obama pada 2014 dan Lyndon Johnson pada 1966.
Turut dijadualkan hadir, Perdana Menteri China Li Qiang; Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva; Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa; Presiden Kesatuan Eropah Antonio Costa; dan Perdana Menteri Jepun Sanae Takaichi.
Ini kali kelima Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN sejak penubuhan blok serantau itu pada 1967 selepas 2015, 2005, 1997 dan 1977.
Filipina akan mengambil alih jawatan pengerusi ASEAN daripada Malaysia pada 2026.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami