WELLINGTON:Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern sedia menawarkan kepakaran negaranya menangani penyerbaran COVID-19 kepada Presiden dipilih Amerika Syarikat, Joe Biden.

Dalam perbualan telefon kedua-dua pemimpin itu, Ardern berkata, Biden sangat teruja dan berminat dengan cara New Zealand mengawal pandemik itu.

“Saya benar-benar percaya bahawa kerjasama antarabangsa terus menjadi kunci untuk mengendalikan virus ini dan kami dengan senang hati bekerjasama dengan mana-mana negara untuk berkongsi pengetahuan dan data jika ia berguna. 

"Tetapi sekali lagi, saya mengakui bahawa kita mempunyai beberapa faktor semula jadi seperti sempadan kita yang membolehkan New Zealand diletakkan dalam keadaan sekarang,” ujar Ardern dalam satu sidang media khas di Wellington.

New Zealand berjaya mengawal penyebaran wabak itu dengan skala besar selepas melaksanakan perintah berkurung pada Mac dan menutup sempadan negara itu.

Hanya 25 kes kematian direkodkan dalam negara dengan populasi berjumlah 5 juta penduduk itu.

Arden juga memaklumkan, Biden ingin mengadakan perbincangan lanjut mengenai langkah-langkah New Zealand dalam mengawal penyebaran virus tersebut.