SEBUAH zoo di England pada Selasa berkongsikan rakaman video beruang matahari secara dekat bagi menunjukkan tindak-tanduk sebenar haiwan liar itu kepada masyarakat.

Ini selepas video haiwan spesies sama di sebuah zoo di China tular di media sosial sehingga menjadi buah mulut netizen yang mendakwa beruang itu tidak asli sebaliknya manusia yang mengenakan maskot. 

“Kami boleh sahkan bahawa Kyra ialah seekor beruang matahari,” menurut kenyataan di media sosial Taman Hidupan Liar Paradise yang terletak di Hertfordshire.

"Beruang matahari mungkin kelihatan seperti manusia apabila ia berdiri, tetapi sebenarnya memang tingkah laku semula jadi haiwan ini untuk berdiri di atas kaki belakang," tambahnya. 

Beruang yang diberi nama Angela di Zoo Hangzhou menjadi tular dalam kalangan netizen China sepanjang minggu ini.

Dalam video itu, tindak-tanduk beruang berkenaan kelihatan seperti manusia dan sedang berdiri.

Haiwan dengan nama saintifik Helarctos Malayanus itu merupakan hidupan liar yang boleh ditemui di hutan Thailand, Malaysia, Myanmar, Vietnam dan Indonesia. 

Beruang itu bukan palsu! - Zoo England