RAFAH: Kebimbangan dan panik semakin meningkat dalam kalangan rakyat Palestin yang mencari perlindungan di pekan paling selatan di Gaza, Rafah.

Rafah adalah tempat terakhir untuk mereka berlindung daripada serangan Israel, namun kini 1.5 juta rakyat Palestin semakin terdesak apabila Israel umum untuk melancarkan serangan di pekan itu.

Kaki lima dan lot bangunan kosong di Rafah kini dipenuhi keluarga yang melarikan diri dari utara Gaza bagi mencari perlindungan.

Lebih separuh daripada keseluruhan penduduk Gaza tidak mempunyai tempat untuk melarikan diri dalam menghadapi serangan yang telah meratakan sebahagian besar landskap bandar di seluruh wilayah itu.

Seorang pelarian, Jihan Al-Hawajri berkata, mereka kini tiada tempat untuk melarikan diri dan bertekad mahu mati di bumi tanah airnya.

“Kami takut. Ke mana kami akan pergi? Kami sangat bimbang dengan pencerobohan Israel ini.

"Ke mana kami akan pergi? Saya tidak mahu berhijrah. Saya mahu mati di bumi negara saya. Jika tidak ada kebaikan untuk seseorang di tanah air mereka, ke mana dia akan pergi?

"Apa sahaja yang Israel mahu lakukan, biarlah ia lakukan. Saya tinggal di khemah saya. Saya tidak akan pergi ke mana-mana, dan saya mahu mati di dalam khemah saya," ujarnya.

Pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran serangan ke atas Rafah akan membawa malapetaka dengan lebih 600,000 kanak-kanak berada dalam kawasan sasaran serangan.

Pergerakan ke atas bandar dan kawasan sekitarnya juga boleh menyebabkan keruntuhan sistem bantuan kemanusiaan yang sudah bergelut untuk memastikan penduduk Gaza terus hidup.

Di bandar Rafah sendiri, dataran dan jalan utama juga dipenuhi khemah.

Keluarga lain memenuhi bilik darjah di sekolah-sekolah PBB atau berkumpul dengan saudara-mara di bangunan pangsapuri.