Johor Royal Press Office siar gambar eksklusif arkib Almarhum Sultan Iskandar

Gambar kenangan Almarhum Sultan Iskandar (kiri) bersama ayahanda baginda, Sultan Ismail ibni Sultan Abu Bakar antara yang dikongsi oleh Johor Royal Press Office. - Gambar Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
KUALA LUMPUR: Johor Royal Press Office pada Khamis menyiarkan gambar-gambar eksklusif daripada arkib diraja, yang memaparkan sorotan perjalanan hidup Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail sempena ulang tahun kemangkatan baginda.
Menerusi hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, koleksi berkenaan menampilkan detik-detik kehidupan Almarhum Sultan Iskandar sejak kecil, termasuk peranan dan minat peribadi baginda sepanjang hayat.
"Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Almarhum, mengampunkan segala khilafnya, serta menempatkan baginda bersama-sama golongan hamba-Mu yang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah," menurut kenyataan itu.
Sultan Iskandar diputerakan pada 8 April 1932 di Istana Semayam Johor Bahru dan ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong kelapan pada 15 Nov 1984.
Almarhum Sultan Iskandar mangkat pada usia 77 tahun, pada malam 22 Jan 2010, selepas hampir tiga dekad memerintah negeri Johor.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


