WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden dijadual melawat Phnom Penh, Kemboja dari 12-13 November untuk menyertai Sidang Kemuncak tahunan AS-ASEAN dan Sidang Kemuncak Asia Timur.

Pada sidang kemuncak itu Biden akan mengesahkan komitmen berterusan AS terhadap Asia Tenggara dan ASEAN, hasil daripada kejayaan Sidang Kemuncak Khas AS-ASEAN yang bersejarah di Washington DC.

"Beliau akan menekankan pentingnya kerjasama AS-ASEAN dalam menjamin keselamatan dan kemakmuran di rantau ini, dan kesejahteraan gabungan satu bilion rakyat," lapor Agensi Anadolu yang memetik jurucakap Karine Jean-Pierre dalam satu kenyataan.

Presiden akan berada di Bali Indonesia dari 13-16 November untuk Sidang Kemuncak Pemimpin G20 di mana beliau akan memuji kepimpinan Presiden Indonesia Joko Widodo dalam G20 dan menekankan komitmen AS terhadap forum utama kerjasama ekonomi dengan negara-negara yang menyumbang lebih daripada 80 peratus KDNK dunia.

"Beliau akan bekerjasama dengan rakan kongsi G20 untuk menangani cabaran utama seperti perubahan iklim, impak global perang Putin ke atas Ukraine, termasuk ke atas tenaga dan keselamatan makanan dan kemampuan, dan pelbagai keutamaan lain yang penting untuk pemulihan ekonomi global," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu juga menyebut Biden akan menghadiri Persidangan Pihak-Pihak kepada Konvensyen Rangka Kerja PBB mengenai Perubahan Iklim (COP27) ke-27 di Sharm el-Sheikh, Mesir pada 11 November, sebelum menuju ke Asia.

White House berkata susulan perjalanan Biden ke Asia dan Afrika Utara, Naib Presiden Kamala Harris akan ke Bangkok, Thailand untuk menghadiri Mesyuarat Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dari 18-19 November.

"Naib Presiden akan menekankan komitmen AS terhadap kerjasama ekonomi di rantau Indo-Pasifik dan beliau akan menggariskan matlamat AS sebagai tuan rumah APEC pada 2023," menurut kenyataan itu.

Harris kemudiannya akan ke Manila, Filipina untuk bertemu pemimpin kerajaan dan wakil masyarakat sivil.

"Lawatannya itu akan mengesah dan mengukuhkan Perikatan AS-Filipina dan menekankan pengukuhan kerjasama kami sebagai rakan, rakan kongsi dan sekutu," katanya.

-- BERNAMA