DUNIA
Biro Antarabangsa PKR syor Malaysia berkecuali jika Deklarasi New York berat sebelah

Maszlee berkata, Biro Antarabangsa PKR turut menyeru agar Malaysia kekal teguh menyokong penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka, berdaulat dan diiktiraf di peringkat antarabangsa, selaras dengan Resolusi PBB 242 (1967). - Gambar fail
PETALING JAYA: Biro Antarabangsa Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengesyorkan Malaysia supaya berkecuali daripada menyokong Deklarasi New York sekiranya terdapat klausa yang bercanggah dengan dasar luar dan prinsip keadilan negara.
Ringkasan AI
- Biro Antarabangsa PKR mengesyorkan Malaysia berkecuali daripada menyokong Deklarasi New York sekiranya terdapat klausa yang bercanggah dengan dasar luar dan prinsip keadilan negara, khususnya kerana deklarasi itu menyasarkan Hamas tanpa mengenakan komitmen undang-undang terhadap Israel.
- Maszlee Malik menegaskan bahawa penyelesaian sebenar hanya boleh dicapai jika Israel mematuhi undang-undang antarabangsa dan menghentikan pendudukan haram di Palestin, serta menyeru agar semua pihak termasuk Israel dipertanggungjawabkan atas pelanggaran undang-undang antarabangsa.
- PKR menyokong penubuhan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat selaras dengan Resolusi PBB 242 (1967), serta menekankan bahawa sebarang peralihan kuasa di Gaza perlu melalui pilihan raya bebas dan adil di bawah pengawasan antarabangsa.
“Meletakkan syarat berat sebelah terhadap Hamas tanpa mengikat Israel kepada sebarang komitmen undang-undang adalah tindakan yang tidak seimbang dan tidak adil,” katanya dalam kenyataan media pada Ahad.
Menurut beliau, pendirian rasmi Malaysia terhadap deklarasi itu perlu mengambil kira komitmen terhadap undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia.
Selain itu, katanya, pendekatan Malaysia perlu seimbang antara tuntutan diplomasi global dan sentimen rakyat yang jelas menyokong perjuangan rakyat Palestin.
Maszlee turut menegaskan bahawa semua pihak yang terbabit termasuk Israel perlu dipertanggungjawabkan atas pelanggaran undang-undang antarabangsa, bukan hanya satu pihak semata-mata.
Deklarasi New York yang dibawa oleh Perancis dan Arab Saudi pada 30 Julai lalu di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengemukakan cadangan pelaksanaan penyelesaian dua negara atau Two-State Solution (2SS) bagi menamatkan konflik Israel-Palestin.
Namun, Maszlee berpandangan pelaksanaan cadangan itu berulang kali gagal bukan kerana keengganan rakyat Palestin, tetapi kerana sikap Israel yang tidak mematuhi resolusi PBB dan prinsip keadilan antarabangsa.
“Pelaksanaan 2SS telah berkali-kali gagal sebelum ini, bukan kerana penolakan dari rakyat Palestin, tetapi kerana keengganan Israel untuk tunduk kepada resolusi PBB dan prinsip asas keadilan antarabangsa,” ujarnya.
Biro Antarabangsa PKR turut menyeru agar Malaysia kekal teguh menyokong penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka, berdaulat dan diiktiraf di peringkat antarabangsa, selaras dengan Resolusi PBB 242 (1967).
Maszlee berkata sebarang peralihan kuasa atau pentadbiran di Gaza perlu dilaksanakan melalui proses pilihan raya yang bebas dan adil di bawah pengawasan antarabangsa.
“Prinsip kedaulatan dan hak Self-Determination adalah hak mutlak rakyat Palestin, bukan negara lain,” katanya.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami