Militan Boko Haram membebaskan 13 tebusan kepada kerajaan Nigeria, ujar kerajaan negara itu pada Sabtu, selepas rundingan dilakukan dengan puak militan itu.

Penculikan itu merupakan sebahagian daripada kempen serangan tahun lalu oleh militan berkenaan yang menuntut untuk mewujudkan sebuah negara Islam di timur laut, menyaksikan sekurang-kurangnya 20,000 orang terbunuh dan memaksa kira-kira 2.7 juta menjadi pelarian sejak 2009.

Tiga daripada tebusan itu adalah pensyarah dari University of Maiduguri yang diculik semasa perjalanan penjelajahan minyak di Magumeri, di timur laut Borno, pada Julai 2017.

Sementara 10 yang lain adalah pegawai polis wanita yang diculik dalam serbuan pada konvoi bulan sebelumnya.

Antara mangsa yang diculik militan Boko Haram. Imej yang diambil dari video pada 15 Jan 2018. - REUTERS
"Pembebasan mereka mengikuti beberapa rundingan seperti yang diarahkan oleh Presiden (Muhammadu) Buhari dan diuruskan oleh Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC)," kata seorang jurucakap jabatan presiden dalam satu kenyataan.

ICRC berkata ia bertindak sebagai pengantara neutral dalam pembebasan tebusan.

"ICRC tidak terlibat dalam sebarang rundingan yang membawa kepada penyerahan 13 tebusan tersebut.
Militan yang bersenjata itu menyerahkan 13 tebusan kepada wakil ICRC yang kemudian membawa mereka ke pihak berkuasa Nigeria," katanya dalam satu kenyataan.

ICRC juga bertindak sebagai perantara dalam pembebasan pada Oktober 2016 dan Mei 2017 yang menyaksikan lebih daripada 200 kanak-kanak perempuan yang diculik oleh Boko Haram dari bandar timur laut Chibok pada tahun 2014.

Antara mangsa-mangsa yang diculik militan Boko Haram. Imej yang diambil dari video pada15 Jan 2018. FOTO: Boko Haram Handout/Sahara Reporters via REUTERS