DUNIA
Brazil akan cabar tarif Trump di WTO, timbang pakej bantuan

Dewan Perdagangan Luar Brazil pada Isnin meluluskan cadangan untuk memulakan rundingan rasmi dengan WTO. - Gambar hiasan
BRASILIA: Brazil sedang bersiap sedia untuk mencabar secara rasmi tarif yang baharu dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) di Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) di samping kekal terbuka untuk rundingan, kata pegawai pada Isnin, lapor Xinhua.
Ringkasan AI
- Brazil cabar tarif AS di WTO: Susulan tarif 50% oleh AS terhadap eksport Brazil seperti kopi dan daging, Brazil bersiap untuk aduan rasmi di WTO sambil mengekalkan saluran rundingan terbuka.
- Pendirian tegas terhadap keadilan perdagangan: Brazil kecam tindakan tarif sebagai tidak munasabah, dan menegaskan hak sebagai negara berdaulat untuk tidak menerima hubungan perdagangan yang tidak saksama.
- Langkah mitigasi dan sokongan domestik: Kerajaan Brazil rancang pakej bantuan ekonomi bagi perniagaan terjejas, termasuk sokongan kredit, sambil terus berbincang dengan sektor terkesan.
Dewan Perdagangan Luar Brazil pada Isnin meluluskan cadangan untuk memulakan rundingan rasmi dengan WTO, langkah pertama dalam proses penyelesaian pertikaian dengan Presiden Luiz Inacio Lula da Silva akan menentukan "bagaimana dan bila" aduan itu akan dikemukakan kepada badan perdagangan itu.
Naib Presiden Geraldo Alckmin berkata Brazil sedang berusaha mengurangkan kesan tarif baharu itu dan telah mengadakan pertemuan dengan wakil perniagaan tani untuk menyelaras strategi. Kerajaan juga akan meneruskan perbincangan dengan sektor yang terjejas.
Menteri Kewangan Fernando Haddad berkata Brazil kekal terbuka untuk berdialog tetapi tidak akan menerima perkongsian yang tidak saksama.
"Kami tidak akan berurusan dengan AS sebagai koloni atau satelit - kami adalah negara berdaulat," katanya dalam wawancara bersama BandNews.
Beliau menyifatkan kenaikan tarif itu sebagai "melampau" dan "tidak munasabah," namun menegaskan masih ada ruang untuk membina agenda dua hala yang positif, khususnya dalam bidang seperti mineral kritikal, teknologi dan infrastruktur data.
Bagi mengimbangi kesan ekonomi akibat tarif itu, Haddad berkata kerajaan akan mengumumkan pakej bantuan untuk perniagaan domestik, termasuk sokongan kredit. Beliau mengakui potensi kesan fiskal, namun menyatakan ia akan diuruskan mengikut peraturan belanjawan sedia ada.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami