DUNIA
Brazil sertai kes ICJ tuduh Israel lakukan ‘genosid’ di Gaza

Seorang ibu Palestin, Alaa Al-Najjar meratapi pemergian bayi lelakinya yang berusia tiga bulan, Yehia yang meninggal dunia akibat kekurangan zat makanan di tengah krisis kelaparan. - Gambar Reuters
BRASILIA: Brazil mengumumkan akan campur tangan secara rasmi dalam kes yang dibawa Afrika Selatan ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), yang mendakwa Israel melakukan jenayah genosid terhadap penduduk Palestin di Gaza.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Luar Negeri Brazil pada Rabu, kerajaan itu berkata, ia kini berada di “peringkat akhir” untuk mengemukakan dokumen campur tangan rasmi ke ICJ.
“Masyarakat antarabangsa tidak boleh terus berdiam diri terhadap kekejaman yang berterusan,” kata kementerian itu.
“Brazil percaya, kini bukan lagi masanya untuk bersikap kabur secara moral atau berdiam diri atas kepentingan politik. Kekebalan dari hukuman hanya akan melemahkan kedaulatan undang-undang antarabangsa dan mencemar kredibiliti sistem pelbagai hala dunia.”Langkah Brazil ini menyusul ketika semakin banyak negara bukan Barat menyuarakan keprihatinan terhadap kekejaman Israel di Gaza, termasuk sekatan bantuan yang mengakibatkan wilayah itu kini berada di ambang kebuluran besar.
“Kerajaan Brazil dengan ini mengumumkan bahawa ia dalam peringkat akhir untuk mengemukakan penyertaan rasmi dalam kes yang sedang berjalan di ICJ, dibawa oleh Afrika Selatan di bawah Konvensyen 1948 mengenai Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid,” kata kenyataan itu lagi.
Brazil juga meluahkan rasa “amat dukacita” terhadap apa yang disifatkan sebagai siri keganasan terhadap penduduk awam Palestin, bukan sahaja di Gaza tetapi juga di Tebing Barat yang diduduki.
Kecaman semakin lantang
Brazil menjadi antara beberapa negara termasuk Sepanyol, Turkiye dan Republik Ireland yang mengambil langkah untuk menyertai kes tersebut, mendesak ICJ mengisytiharkan bahawa Israel telah melanggar kewajipannya di bawah Konvensyen Genosid 1948.
Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva sebelum ini secara terbuka menuduh Israel melakukan genosid dalam satu sidang kemuncak BRICS awal bulan ini – menjadikan pendirian Brazil antara yang paling tegas terhadap Israel dalam kalangan negara-negara hemisfera Barat.
Kementerian Luar Brazil menjelaskan, keputusan menyertai kes ini dibuat atas dasar “kebarangkalian bahawa hak rakyat Palestin untuk dilindungi daripada tindakan genosid telah terjejas secara tidak boleh dipulihkan.”
Setakat ini, ICJ masih belum memutuskan sama ada Israel benar-benar melakukan genosid, namun, pada Januari 2024 mahkamah itu telah mengarahkan Tel Aviv mengambil langkah konkrit bagi mencegah sebarang bentuk genosid termasuk dengan membenarkan kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Bagaimanapun, tekanan tersebut masih belum membawa kesan besar, memandangkan Israel terus menerima sokongan padu dari Amerika Syarikat dan sekutunya di Barat, walaupun semakin ramai pakar serta kumpulan hak asasi memberi amaran tentang pencabulan sistematik terhadap hak penduduk Gaza.
Pada Mac lalu, Israel menguatkuasakan sekatan penuh yang menghalang semua bentuk bantuan ke Gaza selama beberapa bulan, sebelum membenarkan bantuan terhad disalurkan melalui Gaza Humanitarian Foundation (GHF) – sebuah badan yang dilihat mempunyai hubungan rapat dengan Israel dan Amerika Syarikat.
Lebih 1,000 rakyat Palestin yang beratur menunggu bantuan di tapak agihan GHF dilaporkan maut sejak Mei akibat serangan tentera Israel, dengan laporan kematian akibat kebuluran juga semakin meningkat.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut mengkritik GHF sebagai “perangkap maut” dan menyatakan tidak akan bekerjasama dengan badan itu, yang kini mengambil alih peranan agensi bantuan antarabangsa lain yang sebahagian besarnya dihalang Israel daripada beroperasi di Gaza. - Agensi

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami