Skip to main content

Malaysia

Penyelidik UMPSA hasilkan RimauStrike, perkasa sistem latihan sepak takraw

Kebiasaannya, kaedah latihan konvensional yang sering digunakan ketika ini melibatkan jurulatih memukul bola sepak takraw menggunakan raket tenis bagi mensimulasikan situasi permainan sebenar, walau bagaimanapun, kaedah tersebut mempunyai beberapa kekangan kerana kelajuan, arah dan trajektori bola sering menjadi tidak konsisten.
Mohd Hasnun berkata RimauStrike dibangunkan bagi menyediakan satu sistem latihan yang lebih konsisten, berulang dan boleh dikawal. - Gambar UMPSA

KUANTAN: Sekumpulan penyelidik Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menghasilkan mesin pelancar bola sepak takraw, iaitu RimauStrike sebagai inovasi teknologi sukan bagi menggantikan kaedah latihan konvensional. 

Pengarah Pusat Inovasi Teknologi Sukan (STIC) UMPSA Prof Madya Ts Dr Mohd Hasnun Arif Hassan berkata RimauStrike dibangunkan bagi menyediakan satu sistem latihan yang lebih konsisten, berulang dan boleh dikawal. 

Advertisement

“Mesin ini mampu melancarkan bola sepak takraw pada kelajuan yang boleh dilaraskan dan menghasilkan hantaran bola yang lebih stabil berbanding kaedah manual. Kaedah latihan konvensional boleh menjadi tidak konsisten disebabkan faktor seperti keletihan jurulatih, kekuatan pukulan yang berubah-ubah serta teknik pukulan yang tidak sekata,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Kenyataan itu memaklumkan selain Mohd Hasnun, RimauStrike dibangunkan bersama penyelidik Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA) UMPSA Ts Idris Mat Sahat dan Ts Dr Mohd Faizal Sadali. 

Mohd Hasnun berkata penyelidikan yang bermula pada 2023 itu direka bagi membantu jurulatih menjalankan latihan secara lebih sistematik dan membolehkan pemain berlatih dengan lontaran bola dalam pelbagai tahap kelajuan dan ketajaman hantaran.

“Dari segi mekanisme operasi, RimauStrike menggunakan gabungan sistem lontaran bola automatik dan mekanisme roda berputar berkelajuan tinggi. Bola sepak takraw akan disimpan terlebih dahulu di bahagian tempat penyimpanan pada bahagian bawah mesin,” katanya. 

Mohd Hasnun yang juga Presiden Persatuan Teknologi Sukan Malaysia (MySTA) berkata sistem itu menggunakan konsep lingkaran yang berfungsi menggerakkan bola secara berperingkat dari bahagian tempat penyimpanan ke bahagian pelancaran. 

“Mekanisme ini memastikan bola dapat dihantar secara berterusan dan teratur ke bahagian atas mesin dan apabila bola sampai ke bahagian pelancaran, ia akan melalui dua roda berputar berkelajuan tinggi yang digerakkan oleh motor elektrik. 

“Penggunaan mesin ini membolehkan pemain berlatih menerima bola daripada tekong secara lebih konsisten dan berulang, sekali gus membantu meningkatkan kemahiran kawalan bola, refleks serta persediaan pemain dalam menghadapi situasi permainan sebenar,” katanya. 

Beliau berkata Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) turut memberikan sokongan dalam bentuk pembiayaan dana bagi pembangunan versi terkini prototaip RimauStrike, sekali gus membantu mempertingkatkan reka bentuk dan prestasi mesin agar lebih sesuai digunakan dalam latihan atlet sepak takraw. 

“Selain itu, Majlis Sukan Pahang (MSP) turut memberi sokongan dari segi penggunaan teknologi ini dalam konteks latihan atlet negeri serta memberikan maklum balas berkaitan keperluan latihan sebenar dalam sukan berkenaan,” katanya. 

 Mengulas mengenai kos pembangunan, beliau berkata satu unit mesin RimauStrike dianggarkan bernilai sekitar RM25,000, merangkumi bahan mentah, proses fabrikasi, pembangunan prototaip serta khidmat teknikal yang terlibat dalam mereka bentuk dan membina mesin berkenaan. 

“Kos itu mengambil kira proses reka bentuk, pengujian serta penambahbaikan bagi memastikan mesin berfungsi dengan baik dan sesuai digunakan dalam latihan atlet sepak takraw. Kos ini berpotensi dikurangkan sekiranya mesin itu dihasilkan melalui proses pengkomersialan pada masa akan datang,” katanya. 

Sementara itu, beliau berkata pasukan penyelidik merancang untuk memperluas fungsi RimauStrike dengan menambah beberapa ciri baharu seperti kawalan arah pelancaran bola, variasi kelajuan dan putaran bola, sistem kawalan menggunakan aplikasi mudah alih serta integrasi sistem analisis data latihan atlet. 

Selain RimauStrike, pasukan penyelidik turut menghasilkan beberapa inovasi lain dalam bidang teknologi sukan sepak takraw seperti Spike Trainer untuk meningkatkan kemahiran gerakan lipatan atlet serta ProB, iaitu bandana khas bagi mengurangkan risiko kecederaan kepala akibat tandukan bola.

“Kami berharap inovasi teknologi sukan tempatan seperti RimauStrike dapat dimanfaatkan oleh institusi sukan, sekolah, universiti serta persatuan sukan bagi meningkatkan kualiti latihan atlet sepak takraw,” katanya. 

-- BERNAMA 

Must Watch Video