Skip to main content

Dunia

BRICS: Malaysia gesa reformasi sistem kewangan global

NEW DELHI, 14 Mei -- Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan menyampaikan ucapan pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar BRICS hari ini.
Menteri Luar Negeri Datuk Seri Mohamad Hasan berkata krisis global termasuk pandemik COVID-19 telah memburukkan lagi beban hutang dalam kalangan negara membangun. - Foto/ BERNAMA

NEW DELHI: Malaysia menggesa reformasi sistem kewangan global dilaksanakan segera dengan menyifatkan struktur kewangan antarabangsa sedia ada sudah ketinggalan dan tidak lagi mengambil kira keperluan negara-negara membangun.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata krisis global termasuk pandemik COVID-19 telah memburukkan lagi beban hutang dalam kalangan negara membangun.

"Oleh itu, kita memerlukan sistem kewangan yang lebih adil, serta mekanisme pelepasan dan penstrukturan semula hutang, bagi memastikan semua negara mempunyai kecairan kewangan untuk bertindak balas terhadap kejutan ekonomi dan melabur dalam pembangunan mampan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan kenyataan negara Malaysia pada sesi “Reforms of Global Governance and Multilateral System” sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri BRICS di New Delhi pada Jumaat.

Tambah beliau, hampir 40 peratus negara membangun kini berdepan masalah hutang serius manakala kira-kira 3.4 bilion penduduk tinggal di negara yang membelanjakan lebih banyak dana bagi pembayaran hutang berbanding sektor penting seperti kesihatan dan pendidikan.

Menurut beliau, situasi itu menyebabkan banyak negara membangun terus terdedah kepada kejutan ekonomi dan krisis global.

Mohamad turut menyifatkan institusi Bretton Woods masih bergantung kepada kuota Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang tidak lagi selari dengan realiti ekonomi semasa.

Sebelum ini, Malaysia berulang kali menegaskan keperluan reformasi struktur terhadap institusi kewangan global supaya lebih selari dengan realiti ekonomi semasa.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menyifatkan institusi utama dunia seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Bank Dunia dan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) masih terperangkap dalam struktur lapuk pasca-Perang Dunia Kedua.

Beliau turut menggesa negara-negara BRICS dan Selatan Global mengambil pendirian bersama bagi mendesak pelaksanaan reformasi termasuk aspek akauntabiliti demokratik serta agihan kuota pegangan yang lebih adil dalam institusi kewangan antarabangsa.

Must Watch Video