Britain gesa peningkatan segera bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza

Cooper menekankan keperluan membuka semua lintasan sempadan, menarik balik sekatan dan menyampaikan bantuan yang diperlukan dengan segera ke Semenanjung Gaza. - Gambar fail/AP
LONDON: Pejabat Luar Britain menggesa tindakan antarabangsa segera bagi meningkatkan bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza susulan undian Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) yang memihak kepada resolusi dicadangkan Amerika Syarikat (AS) untuk melaksanakan pelan damai 20 perkara, lapor Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA).
Setiausaha Luar Britain, Yvette Cooper menegaskan bahawa masyarakat antarabangsa wajib menterjemahkan pelan 20 perkara itu kepada keamanan yang adil dan berkekalan.
Beliau menyatakan bahawa resolusi berkenaan menerima sokongan menyeluruh daripada negara-negara Arab dan Islam serta menyediakan asas perundangan yang diperlukan bagi mengerahkan pasukan penstabilan antarabangsa untuk melaksanakan pelan Presiden AS Donald Trump.
Cooper menekankan keperluan membuka semua lintasan sempadan, menarik balik sekatan dan menyampaikan bantuan yang diperlukan dengan segera ke Semenanjung Gaza.
Beliau turut menegaskan sokongan berterusan Britain terhadap penyelesaian dua negara serta usaha menjamin keselamatan orang awam.
Di New York, Kuasa Usaha Britain ke PBB James Kariuki menjelaskan bahawa Britain akan terus berusaha memastikan pengerahan segera pasukan penstabilan antarabangsa dan menyokong gencatan senjata.
Beliau menekankan komitmen untuk melaksanakan pengaturan peralihan selaras dengan undang-undang antarabangsa, kedaulatan Palestin dan perpaduan Semenanjung Gaza serta Tebing Barat.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


