INTERNATIONAL
Bunuh rakan gara-gara enggan bersalam

Mangsa yang mengalami dua tikaman, parah di dada kanan dan segera dikejarkan ke Hospital Umum Daerah (RSUD) Tidar, namun disahkan meninggal dunia kira-kira jam 2 pagi Isnin. - Gambar hiasan
MAGELANG: Hanya kerana tidak diajak berjabat tangan, seorang lelaki bertindak di luar kawalan apabila menikam rakannya sendiri sehingga maut dalam kejadian di Kelurahan Panjang, Kecamatan Magelang Tengah, Jawa Tengah, Sabtu lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, suspek dikenali sebagai RAS atau Bolot, 24, menyerang mangsa, Evander, 25, selepas berasa tersinggung apabila tangannya ditepis ketika ingin bersalaman.
Ketua Polis Kota Magelang, AKBP Anita Indah Setyaningrum berkata, kejadian bermula apabila mangsa bertemu beberapa rakan di sebuah rumah untuk berbincang mengenai urusan pekerjaan.
"Suspek yang turut berada di lokasi berjabat tangan dengan beberapa individu lain, namun berasa dihina apabila mangsa menolak untuk bersalaman dengannya," katanya kepada wartawan baru-baru ini.Difahamkan, suspek yang dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol bertindak memukul Evander dengan tangan kosong sebelum bertindak lebih agresif dengan mengeluarkan pisau lipat dan menikam mangsa.
Evander yang mengalami dua tikaman, parah di dada kanan dan segera dikejarkan ke Hospital Umum Daerah (RSUD) Tidar, namun disahkan meninggal dunia kira-kira jam 2 pagi Isnin.
Menurut hasil bedah siasat, luka tikaman sedalam lima sentimeter di dada dan dua sentimeter di bawah ketiak telah menyebabkan pendarahan teruk sehingga mengakibatkan kematian.
Suspek ditahan polis pada Ahad pagi di kawasan Magersari, Kecamatan Magelang Selatan, bersama barang bukti pisau lipat dan pakaian yang dipakai ketika kejadian.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 338 Kanun Keseksaan Indonesia atas kesalahan membunuh, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun, serta Seksyen 351(3) kerana menyebabkan kematian akibat penganiayaan, yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun.- Sinar Harian memetik agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami