GENEVA: PEJABAT Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Eropah menjangkakan lebih banyak kes kematian akibat cacar monyet ekoran laporan kematian pertama di luar Afrika, selain menegaskan komplikasi teruk masih jarang berlaku.

Pegawai kecemasan kanan WHO Eropah, Catherine Smallwood, menjangkakan situasi itu susulan penularan cacar monyet berterusan di Eropah.

Kata beliau, matlamatnya perlu mengganggu penularan pantas di Eeropah dan menghentikan wabak itu selain menjelaskan, kebanyakan kes penyakit itu sembuh sendiri tanpa memerlukan rawatan.

Menurutnya, pemberitahuan kematian akibat cacar monyet tidak mengubah penilaian WHO terhadap penularan di Eropah.

Ini kerana, katanya, cacar monyet boleh menyebabkan komplikasi teruk, dengan sebab biasa pesakit mungkin memerlukan rawatan di hospital termasuk bantuan dalam menguruskan kesakitan, jangkitan sekunder.

Kementerian Kesihatan Sepanyol merekodkan kes kematian kedua cacar monyet pada Sabtu, sehari selepas Sepanyol dan Brazil melaporkan kematian pertamanya.

Pengumuman itu menandakan kematian pertama dikaitkan dengan penularan di luar Afrika.

Berdasarkan WHO, lebih 18,000 kes dikesan di seluruh dunia sejak awal Mei lalu, dengan majoritinya di Eropah, selain mengisytiharkan wabak cacar monyet sebagai kecemasan kesihatan global, minggu lalu.

Ketika kes meningkat di seluruh dunia, WHO Rabu lalu, meminta kumpulan paling terjejas oleh virus itu, iaitu golongan homoseksual untuk mengehadkan pasangan seksual mereka.