NAIROBI (Kenya): Dalam usaha menangani ancaman malaria yang berterusan, Cameroon pada Isnin memulakan kempen vaksinasi pertama di dunia terhadap penyakit itu.

Ketua Kawalan Penyakit di Pusat Kawalan Penyakit Afrika Mohammed Abdulaziz berkata langkah bersejarah itu bermatlamat memerangi penyakit yang telah membunuh ratusan ribu orang setiap tahun, terutama kanak-kanak di Afrika.

"Vaksinasi mampu menyelamatkan nyawa, merealisasikan harapan kami secara kolektif untuk memerangi kesan malaria yang dahsyat," kata Abdulaziz semasa taklimat akhbar pada Isnin, lapor Agensi Anadolu (AA).

Beliau berkata Cameroon dengan beban malaria yang tinggi, terutama dalam kalangan kanak-kanak dilihat sesuai untuk pelancaran utama sebelum ia diperluaskan.

Pelancaran itu disokong oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), UNICEF, dan Vaccine Alliance Gavi, akan menyaksikan integrasi sistematik vaksin yang dipanggil "RTS, S" ke dalam jadual imunisasi rutin kanak-kanak di negara Afrika Tengah itu.

Ketua pegawai program di Gavi, Aurelia Nguyen, berkata pelancaran pertama itu akan menyaksikan pengenalan vaksin itu di 42 daerah.

Vaksin berkenaan akan diberikan sebanyak empat dos kepada kanak-kanak yang tinggal di kawasan penularan malaria.

Umur yang disyorkan bermula seawal lima bulan dengan dos berikutnya diberikan setiap bulan sehingga kanak-kanak mencapai umur sembilan bulan.

Dos penggalak disyorkan pada usia dua tahun.

Menurut Laporan Malaria Dunia 2021 WHO, Afrika Sub-Sahara masih menyumbang kira-kira 95 peratus kes malaria global dengan 96 peratus kematian.

Kanak-kanak bawah lima tahun paling banyak menghidap penyakit itu yang menyaksikan pada tahun 2020 sahaja dianggarkan 263,000 nyawa terkorban

-- BERNAMA