LONDON: Canselor Perbendaharaan United Kingdom (UK) Jeremy Hunt pada Khamis mengumumkan pakej kenaikan cukai dan pengurangan perbelanjaan bernilai 55 bilion Pound (AS$65 bilion) dalam usaha meningkatkan kewangan awam serta memulihkan kredibiliti ekonomi negara, lapor Xinhua.

Tekanan fiskal

"Hari ini kami perkenalkan rancangan untuk menangani krisis kos sara hidup dan membina semula ekonomi. Keutamaan kami ialah kestabilan, pertumbuhan dan perkhidmatan awam," kata Hunt di Dewan Rakyat.

Bagi mengumpul lagi dana, mereka yang berpendapatan tinggi mula membayar kadar 45 peratus akan dikurangkan daripada 150,000 Pound ke 125,140 Pound manakala cukai pendapatan, cukai warisan dan insurans negara akan dibekukan selama dua tahun lagi sehingga April 2028.

Selain itu, bagi memastikan perniagaan yang membuat keuntungan luar biasa disebabkan kenaikan harga tenaga turut membayar bahagian yang saksama, cukai ke atas syarikat minyak dan gas akan meningkat daripada 25 peratus kepada 35 peratus dengan levi kekal sehingga Mac 2028 dan levi baharu 45 peratus sementara akan diperkenalkan untuk penjana elektrik.

Mengenai perbelanjaan awam pula jabatan dijangka bekerja dengan lebih cekap dan menyokong misi disiplin fiskal kerajaan. Untuk tempoh 2025-2026 dan seterusnya perbelanjaan harian akan meningkat dengan lebih perlahan sebanyak satu peratus.

Di tengah-tengah krisis kos sara hidup dan langkah kerajaan mengehadkan bil tenaga biasa untuk isi rumah ketika musim sejuk pada 2,500 Pound, beliau melancarkan satu lagi pakej sokongan di bawah Jaminan Harga Tenaga mulai April 2023 dengan had meningkat kepada 3,000 Pound.

Untuk memastikan disiplin fiskal, beliau turut memperkenalkan dua peraturan baharu fiskal: hutang negara mesti menjadi sebahagian Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang tahun kelima dalam tempoh lima tahun; dan pinjaman sektor awam pada tahun yang sama mesti di bawah tiga peratus daripada KDNK.

Menurut kerajaan, secara keseluruhannya rancangan fiskal itu berupaya meningkatkan kewangan awam sebanyak 55 bilion Pound menjelang 2027-2028.

Tekanan belanjawan berlaku selepas pakej pemotongan cukai tidak dibiayai secara besar-besaran yang diumumkan kerajaan pada September yang menyebabkan pasaran kewangan bergolak kerana langkah pemberian fiskal dijangka meningkatkan pinjaman awam dan memberi tamparan hebat kepada reputasi fiskal negara.


Unjuran suram

"Canselor tetap berpegang pada janjinya untuk memberi tumpuan kepada kestabilan kewangan dan menyasarkan sokongan kepada golongan paling lemah dalam masyarakat. Tetapi dalam keadaan kemelesetan, kenyataan ini tidak akan meningkatkan keyakinan perniagaan," kata ketua pengarah British Chambers of Commerce (BCC) Shevaun Haviland.

Pada Khamis, tinjauan ekonomi terbaharu badan pemantau fiskal Office for Budget Responsibility (OBR) mendapati kenaikan harga akan menghakis gaji bersih dan mengurangkan taraf hidup sebanyak tujuh peratus secara keseluruhan dalam tempoh dua tahun kewangan hingga 2023-2024 selain menghapuskan pertumbuhan lapan tahun sebelumnya, walaupun mendapat sokongan kerajaan.

Tekanan pada pendapatan bersih, kenaikan kadar faedah dan kejatuhan harga rumah semuanya akan menjejaskan penggunaan dan pelaburan, membawa ekonomi kepada kemelesetan berpanjangan lebih setahun daripada suku ketiga 2022 dengan kejatuhan dalam KDNK sebanyak dua peratus.

Menurut OBR tinjauan fiskal jangka sederhana merosot secara ketara sejak unjuran Mac berikutan kelemahan ekonomi serta kadar faedah dan inflasi yang lebih tinggi.

Berdasarkan dasar seperti ditetapkan pada Mac, OBR menyatakan pinjaman kerajaan menjadi GBP108 bilion atau 3.7 peratus daripada KDNK pada 2027-2028 dan hutang asas akan meningkat setiap tahun.

Perbandingan bulanan yang diterbitkan Perbendaharaan UK pada Rabu menunjukkan purata ramalan baharu sebanyak 4.2 peratus untuk pertumbuhan KDNK UK pada 2022 dan penguncupan 0.9 peratus pada 2023.

"Dasar fiskal akan diperketatkan secara material tahun depan, menguatkan kemelesetan yang sedang berlaku.

"Kemelesetan Britain kemungkinan bakal menjadi paling teruk dalam kalangan ekonomi maju utama, memandangkan tiada negara lain telah bergerak secepat ini untuk menaikkan cukai dan menarik balik sokongan harga tenaga," kata ketua ekonomi di Pantheon Macroeconomics, Samuel Tombs.

-- BERNAMA