CBI India sifatkan pengusiran suspek jenayah Malaysia berjalan lancar

Suspek yang dikaitkan dengan kumpulan jenayah terancang "Captain Praba" dihantar pulang ke Malaysia pada Selasa dan dibawa ke mahkamah di Malaysia pada Rabu. - Gambar Bernama
NEW DELHI: Biro Siasatan Pusat (CBI) India pada Rabu menyifatkan penyerahan tiga suspek jenayah warga Malaysia kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjalan "lancar" serta selaras dengan kerjasama dua hala yang kukuh dalam penguatkuasaan undang-undang.
Ketiga-tiga suspek yang dikaitkan dengan kumpulan jenayah terancang "Captain Praba" dihantar pulang ke Malaysia pada Selasa dan dibawa ke mahkamah di Malaysia pada Rabu.
CBI, yang bertindak sebagai Biro Pusat Kebangsaan (NCB) bagi Interpol di India menyelaras dengan rakan sejawatnya di Kuala Lumpur bagi memudahkan proses berkenaan, susulan permintaan bantuan daripada Malaysia untuk menahan ketiga-tiga individu itu.
Agensi penyiasatan India itu berkata dalam satu kenyataan yang pasukan Malaysia "mengiringi kesemua individu berkenaan pulang ke Malaysia dengan cara yang lancar dan tersusun".
"Operasi yang berjaya ini mencerminkan kerjasama dua hala yang kukuh antara India dan Malaysia dalam bidang penguatkuasaan undang-undang serta menekankan keberkesanan saluran Interpol dalam menangani jenayah rentas sempadan," menurut kenyataan CBI itu.
Ketiga-tiga buruan itu ditahan pada Ahad di Lapangan Terbang Mumbai selepas mereka bertindak agresif dan bergelut dengan kakitangan keselamatan sebaik tiba dari Manchester, selepas dinafikan kemasukan ke Britain.
--BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


