Sebuah kereta yang membawa lima penumpang terjatuh ke dalam sungai di Madhya Pradesh, India ketika cuba mengelak bertembung dengan sebuah kenderaan roda tiga di atas sebuah jambatan sempit.

Insiden itu berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV).

Kenderaan roda tiga yang sarat dengan penumpang itu dilihat dibawa laju sebelum nyaris bertembung dengan kenderaan mangsa.

Bagi mengelakkan perlanggaran, kereta itu jatuh ke dalam sungai.

Paparan CCTV menunjukkan dua lelaki cuba keluar dari kenderaan itu. Turut kelihatan seorang kanak-kanak dalam rakaman itu.

Bagi menyelamatkan kanak-kanak itu daripada lemas, salah seorang lelaki menariknya keluar dan mencampakkan kanak-kanak itu ke arah seseorang yang berdiri di atas jambatan.

Malangnya kanak-kanak itu jatuh ke dalam dalam sungai dan dengan pantas lelaki itu melompat ke dalam air untuk menyelamatkan kanak-kanak itu semula.

Kenderaan roda tiga yang menyebabkan kemalangan itu berlaku bagaimanapun melarikan diri.

Warganet menyelar pemandu kenderaan roda tiga itu dan memuji mereka yang membantu mangsa.

Sementara itu Agensi berita Asian News International (ANI) melaporkan, kelima-lima mangsa di dalam kereta itu diselamatkan oleh orang ramai yang berhenti di lokasi kemalangan.

Mereka mengalami kecederaan ringan dan kemudian dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan susulan. - Agensi