Cerita epal Aksu: Tentang penghijauan dan ramai tidak lagi miskin…

Kenapa epal dan Aksu begitu ‘serasi’? Ini kerana faktor kedudukan geografi wilayah yang tinggi, tempoh cahaya matahari yang panjang, dan perbezaan suhu yang ketara antara siang dan malam. - Gambar Astro AWANI/ FAUZI ZIN
PERNAH terbayang tanam epal boleh mengubah masa depan komuniti? Bukan metafora, bukan dramatis. Inilah kisah kejayaan sebenar komuniti di Aksu, Xinjiang, China.
Aksu bukan bandar raya. Dahulu, kawasan gersang di utara Tanah Besar China, berdepan iklim ekstrem, sumber terhad dan kemiskinan tegar.
Kini, Aksu dikenali sebagai wilayah pertanian moden dengan epal sebagai jalan keluar dari kemiskinan.
Berdasarkan catatan sejarah China, penanaman epal telah bermula 1,400 tahun lalu sejak zaman Dinasti Tang di kawasan Aksu.Namun, kedudukan geografi yang dikelilingi padang pasir (jarak enam kilometer dari bandar), menjadikan Aksu sering dilanda ribut pasir.
Satu-satunya cara untuk memastikan bandar ini sesuai untuk hidup adalah melalui program penghijauan dengan menanam pokok (termasuk epal) sebagai usaha menampan cabaran iklim.
Usaha yang berterusan sejak hampir empat dekad lalu membuahkan hasil apabila tanaman epal bukan sahaja membantu menyeimbangkan ekosistem, malah meningkatkan ekonomi komuniti dan pendapatan penduduk.
Melawat Ladang Hongqipo
Saya berpeluang melawat Ladang Hongqipo, antara ladang tertua di sini, yang ditubuhkan sejak 1958.
Dianggarkan jumlah hasil pengeluaran epal 300,000 tan setahun.
Kenapa epal dan Aksu begitu ‘serasi’? Ini kerana faktor kedudukan geografi wilayah yang tinggi, tempoh cahaya matahari yang panjang, dan perbezaan suhu yang ketara antara siang dan malam.
Selain itu faktor seperti pengairan dari salji yang cair dari Pergunungan Tianshan dan kawasan pengeluaran yang bebas pencemaran.
Persekitaran ini membuahkan epal Aksu "sugar heart snow" yang tersendiri.
Kerana keunikannya, epal dari Aksu telah menjadi jenama terkenal.
Pernah dijadikan buah rasmi Olimpik Beijing 2008, mendapat status geographical indication dan diletakkan sebaris dengan jenama pertanian premium China.

Faktor cuaca yang panjang dan perbezaan suhu ketara siang dan malam menjadikan epal Aksu "sugar heart snow" yang tersendiri.

Melawat Ladang Hongqipo ditubuhkan sejak 1958. Dianggarkan jumlah hasil pengeluaran epal mencecah 300,000 tan setahun.
Daripada ladang kecil ke koperasi pintar
Salah satu dorongan utama terhadap kejayaan industri epal di Aksu adalah melalui penubuhan koperasi.
Contohnya, di Ladang Hongqipo terdapat Koperasi Fengqingyuan.
Ditubuhkan pada 2014, koperasi ini mengurus lebih 8,000 ekar kebun epal, dengan sistem moden: dari penanaman, pemprosesan, hingga pemasaran. Model mereka mudah: “Syarikat + Koperasi + Petani”.
Petani tidak lagi bergantung pada nasib musim. Mereka dibekalkan dengan ilmu, teknologi dan pasaran.
Epal mereka boleh dijual dengan harga lebih tinggi, dengan kualiti yang dipantau rapi - hasilnya pendapatan petani meningkat sehingga 30 peratus berbanding kebun biasa.
Malah, orang persendirian juga boleh menyewa pokok epal dan menjual hasilnya. Syarikat-syarikat juga melakukan perkara yang sama, tetapi ‘pulangan’ dikembalikan kepada golongan yang memerlukan.
Hampir semua petani di Aksu kini memilih untuk menanam epal kerana kelebihan cuaca, pulangan yang menjanjikan serta sokongan dan bantuan daripada kerajaan.
Pendapatan petani (bulanan) juga meningkat lebih 128 kali ganda, daripada 48 yuan (pada tahun 2000) kepada 6,200 yuan (pada tahun 2024).
Apa yang Malaysia boleh belajar?
Soalan ini sering dijawab dengan alasan faktor cuaca yang berbeza.
Namun, terdapat peluang untuk menambah baik pertanian ke arah yang lebih moden dan mampan.
China membina ekosistem lengkap: tanah, teknologi, latihan, koperasi, eksport dan penjenamaan.
Di Malaysia, kita masih bergelut dengan isu orang tengah, tanah terbiar dan kurangnya usaha berkesan untuk generasi muda kembali ke ladang.
Kita perlu mencari jalan untuk mengatasi cabaran ini dan mewujudkan pertanian yang lebih berdaya saing dan lestari.
Kisah Aksu bukan sekadar cerita tentang epal. Ia kisah tentang keberanian untuk berubah, kecekalan membina masa depan dan kebijaksanaan menggunakan sains untuk melawan takdir kemiskinan.
Kalau Aksu boleh, kenapa kita tidak?

Kerana keunikannya, epal dari Aksu telah menjadi jenama terkenal.
* Fauzi Zin dan Fahmey Azhar kini mengikuti program China Walk in Aksu, Xinjiang, China.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami