KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyatakan komitmen penuh untuk menjaga kebajikan anggotanya termasuk waris yang terkorban semasa bertugas.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata waris kepada sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terkorban dalam tragedi nahas jalan raya setahun lalu boleh hubungi ketua polis negeri untuk mendapatkan bantuan susulan.
“Jika ada mana yang kurang, saya minta berhubung dengan ketua polis negeri masing-masing,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan majlis penutup PDRM Special Dialogue V 2026 di Pusat Konvensyen KLGCC di sini, hari ini.
Mohd Khalid turut menyatakan setakat ini sumbangan yang telah diberikan seperti bantuan barangan keperluan asas, insurans telah dilaksanakan dengan sempurna.
Pada masa sama, beliau berkata PDRM telah memperkemas prosedur operasi standard (SOP) dalam melaksanakan penugasan terutama melibatkan konvoi dengan jumah yang ramai.
Menurutnya, peningkatan SOP dan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan diharap dapat mengurangkan kemalangan sama ada di tempat bertugas atau jalan raya.
“Kita sentiasa mengambil berat bagi memastikan keselamatan para anggota dan pegawai PDRM,” katanya.
Tambahnya, PDRM turut mendapat peruntukan dari kerajaan untuk mempertingkat peralatan, logistik dan kenderaan-kenderaan baharu.
“Saya percaya ia akan memberi semangat yang lebih kuat kepada semua petugas PDRM,” katanya lagi.