SEOUL: Suruhanjaya Perlindungan Maklumat Peribadi (PIPC) Korea Selatan pada Khamis berkata denda sebanyak 3.6 juta won (AS$2,829) dikenakan ke atas pengendali chatbot generatif ChatGPT, OpenAI kerana mendedahkan maklumat peribadi 687 pengguna.

Seramai 687 pengguna di Korea Selatan telah terjejas akibat kebocoran maklumat pembayaran pelanggan ChatGPT Plus yang mendedahkan antaranya nama pertama dan akhir, alamat e-mel, empat digit terakhir nombor kad kredit dan tarikh tamat tempoh kad kredit, lapor Agensi Berita Yonhap.

PIPC berkata OpenAI didenda kerana melanggar kewajipannya untuk melaporkan kebocoran kepada pihak berkuasa dalam tempoh 24 jam selepas mengesannya.

Tetapi badan pemerhati privasi membuat kesimpulan bahawa syarikat itu tidak boleh dipertanggungjawabkan untuk langkah perlindungan maklumat peribadi yang longgar.

Badan pemantau itu mengesyorkan OpenAI mengambil langkah untuk mencegah kejadian berulang, mematuhi undang-undang perlindungan maklumat peribadi Korea Selatan dan bekerjasama secara aktif dengan aktiviti pemeriksaan terdahulu suruhanjaya itu, kata suruhanjaya itu.

-- BERNAMA